AM > BERITA

DUN SABAH LULUS LIMA RUU BERKAITAN HAL EHWAL PERUNDANGAN ISLAM

11/07/2024 05:34 PM

KOTA KINABALU, 11 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan lima rang undang-undang (RUU) berkaitan hal ehwal perundangan Islam di Sabah.

RUU yang dibentangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif itu antara lain bagi memastikan pelaksanaan perundangan Islam di negeri itu lebih kemas dan teratur selaras dengan kuasa Mahkamah Syariah, Majlis Ugama Islam Negeri Sabah dan hukum syarak.

RUU terlibat ialah RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2024, RUU Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2024, RUU Enakmen Zakat dan Fitrah (Pindaan) 2024, RUU Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) (Pindaan) 2024 dan RUU Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2024.

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan sebelum ia diluluskan dengan suara terbanyak oleh Speaker Datuk Kadzim M Yahya.

Mohd Arifin yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam Sabah ketika membentangkan RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2024 berkata ia bertujuan meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam subseksyen 2(1) enakmen itu supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang berkaitan.

Beliau berkata ia termasuk pindaan lain yang berkaitan dengan perubahan proses rayuan dengan wujudnya Mahkamah Utama Syariah.

Menurutnya, RUU Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2024 pula bertujuan meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam subseksyen 2(1) Enakmen tersebut supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang berkaitan.

Bagi RUU Enakmen Zakat dan Fitrah (Pindaan) 2024, Mohd Arifin berkata ia bertujuan meminda takrif mahkamah,  majlis dan setiausaha supaya konsisten dengan takrif diperuntukkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2024.

Mohd Arifin berkata RUU Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) (Pindaan) 2024 bertujuan meminda Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018 berkaitan takrifan mahkamah selaras dengan pewujudan Mahkamah Utama Syariah dalam Enakmen Mahkamah Syariah 2024.

RUU Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2024 pula bertujuan meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam subseksyen 2(1) enakmen itu supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang berkaitan.

Persidangan DUN Sabah kemudian ditangguhkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan