AM > BERITA

55 BAS SMART SELANGOR DILENGKAPI IKLAN PANEL PROMOSI TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025

11/07/2024 06:22 PM

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Sebanyak 55 Bas Smart Selangor dilengkapi dengan papan iklan panel bagi mempromosikan lokasi pelancongan menarik di seluruh negeri itu bersempena dengan Tahun Melawat Selangor 2025.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata kempen promosi yang turut melibatkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula hari ini di sembilan daerah itu melibatkan peruntukan sebanyak RM250,000.

Beliau berkata PBT yang terlibat adalah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kajang.

"Bas Smart Selangor merupakan platform bersesuaian untuk mempromosikan kempen tersebut kerana ia antara medium pengangkutan awam utama di Selangor dengan lebih 50 laluan.

“Ini menjadikan Bas Smart Selangor dengan 5.37 juta penumpang yang direkod tahun lepas sebagai satu medium promosi yang berkesan bagi memperkenalkan Tahun Melawat Selangor 2025 di pasaran domestik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen tersebut oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di pekarangan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Ng berkata kempen yang turut mendapat kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd itu merupakan strategi Tourism Selangor dalam melibatkan pihak swasta bagi pembangunan pelancongan di negeri ini agar lebih efektif.

Beliau berkata bas yang mempamerkan beberapa lokasi tarikan pelancongan seperti Taman Tema Sunway Lagoon, Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Kajang Once Upon A time Heritage Walk, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan pusat ekopelancongan di utara serta selatan Selangor itu telah mendapat kelulusan dan memenuhi spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan