AM > BERITA

SIRIM LANCAR PIAWAIAN INDUSTRI BAHARU SIRIM 65:2024

11/07/2024 07:26 PM

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- SIRIM melancarkan piawaian industri baharu SIRIM 65:2024 bertajuk "Healthy Purification Rating of Refrigerating Appliances for Household and Similar Use - Requirements and Methods of Test" bertujuan menggalakkan kehidupan lebih sihat melalui teknologi penyejuk termaju. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata skop  SIRIM 65 meliputi peralatan penyejukan untuk kegunaan isi rumah selain penggunaan di kedai, pejabat, industri hospitaliti dan industri ringan.

Beliau berkata dengan menetapkan keperluan dan kaedah ujian yang ketat, piawaian ini bertujuan mempromosikan persekitaran hidup lebih sihat melalui teknologi penyejuk yang dipertingkatkan.

"Sebagai organisasi pembangunan piawaian, SIRIM mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan perundingan piawaian. Ini membantu industri dan perniagaan memenuhi keperluan dan amalan tempatan serta antarabangsa melalui pembangunan piawaian industri.

"Bersama dengan kerajaan dan rakan kongsi industri, SIRIM membolehkan produk dan perkhidmatan di Malaysia mendapat pengiktirafan sewajarnya dari segi kualiti dan inovasi di peringkat global," katanya pada pelancaran SIRIM 65 di sini hari ini.

Pelancaran piawaian industri baharu itu disempurnakan Pengarah Kanan Bahagian Hubungan Ekonomi dan Perdagangan Dua Hala MITI Nor Hasnah Badroddin.

Ahmad Sabirin berkata dengan kelebihan keunikan dalam penyelidikan dan inovasi teknologi, SIRIM menyediakan penyelesaian untuk memenuhi pelbagai keperluan semua sektor industri sekali gus meletakkan organisasi itu sebagai rakan kongsi utama inovasi.

Beliau berkata piawaian baharu ini hasil kerjasama antara SIRIM dan Hunan SIRIM Huasheng Certification and Inspection Co. Ltd dengan sokongan pembiayaan penuh daripada Midea Group (China).

Piawaian ini direka khusus untuk mewujudkan kriteria rating dan penilaian, menyediakan rangka kerja yang jelas untuk menilai keberkesanan peralatan penyejukan, membolehkan pengguna mempunyai akses kepada pilihan yang boleh dipercayai.

"Komitmen ini bukan sekadar membezakan jenama kami dalam pasaran tetapi juga meletakkan kami sebagai peneraju industri dalam mempromosikan peralatan penyejukan yang lebih baik untuk kehidupan lebih sihat," katanya. 

Sementara itu, Nor Hasnah berkata pelancaran piawaian itu menjadi alat strategik untuk memenuhi perubahan keperluan bagi kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa dalam ekonomi tanpa sempadan hari ini yang dipacu oleh kepesatan kemajuan teknologi.

Beliau berkata selain memastikan keselamatan dan kesalingbolehtukaran, menangani isu teras dalam perihal kualiti memainkan penting untuk keupayaan dan daya saing dalam pasaran global yang secara langsung terikat dengan mematuhi piawaian selain berfungsi sebagai pintu masuk untuk menembusi pasaran baharu.

"Piawaian juga mewakili strategik imperatif yang tidak boleh diabaikan. Menyediakan dokumen asas untuk menentukan tahap prestasi dan pengukuran produk, proses dan perkhidmatan," tambahnya.

Turut hadir pada majlis itu CEO Akademi SIRIM Nik Sazali Nik Hussein, CEO SIRIM QAS International Nur Fadhilah Muhammad dan Presiden Midea Group Asia Pacific Region Zeal Jiang.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan