AM > BERITA

TRAGEDI MH17 MASIH DIINGATI WALAUPUN SEDEKAD BERLALU

12/07/2024 12:09 PM

Oleh N. Sevagamy

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Sudah sedekad berlalu sejak tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 2014 sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 80 kanak-kanak.

Bagi menghormati pemergian mangsa tragedi menyayat hati itu, majlis peringatan ke-10 akan diadakan pada 17 Julai ini di Monumen Nasional MH17 di Park Vijfhuizen berhampiran Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam, menurut Kedutaan Belanda di Malaysia.

Oleh itu, lima wakil media negara termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dijemput untuk menyaksikan acara bersejarah itu dan menyertai program peringatan yang dijadualkan selama tiga hari bermula 15 Julai.

Program berkenaan termasuk lawatan ke lokasi tertentu untuk memberikan pemahaman mendalam mengenai usaha dan kerjasama berterusan antara Belanda dan Malaysia selepas kejadian yang menimpa pesawat MH17.

Pada hari pertama, sesi temu bual dijadual diadakan dengan bekas Ketua Pendakwa Raya di Perkhidmatan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwa Raya Daerah "Noord-Holland", Digna van Boetzelaer. Beliau mengetuai pendakwaan dan siasatan jenayah terhadap kes MH17 yang ditembak jatuh. 

Jadual turut disusun dengan sesi temu ramah bersama waris mangsa, selain lawatan ke pembinaan semula pesawat MH17 bertempat di pangkalan tentera di Gilze-Rijen, tengah Belanda.

"Selain keluarga terdekat, hampir 1,500 orang dari seluruh dunia akan berkumpul bersempena dengan majlis itu. Keperitan akibat kehilangan insan tersayang (mangsa) masih dirasai keluarga dan rakan sehingga kini.

"Ketika kita menghampiri 10 tahun sejak tragedi berkenaan berlaku, Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine ingin menegaskan bahawa kami tetap teguh dalam komitmen untuk mencapai kebenaran, keadilan dan kebertanggungjawaban buat mangsa dan waris nahas terbabit.

"Mereka yang ditinggalkan berhak mendapat kesimpulan. Mereka perlu tahu bahawa segala yang boleh dilakukan telah dilakukan untuk mengelakkan tragedi sedemikian berlaku pada masa hadapan," menurut kedutaan itu.

Pada 14 Julai 2014, pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine, menyebabkan kesemua penumpang terkorban.

Mangsa merupakan penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom.

Susulan kejadian itu, pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine secara in absentia selepas mendapati mereka bersalah menyebabkan pesawat MH17 ditembak jatuh dan kesemua 298 penumpang terbunuh.

Mereka ialah Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dari Rusia serta warga Ukraine iaitu Leonid Kharchenko. Bagaimanapun, mahkamah membebaskan seorang lagi lelaki Rusia, Oleg Pulatov atas pertuduhan sama.

Mahkamah turut memerintahkan tiga lelaki itu membayar lebih 16 juta Euro sebagai pampasan kepada  ahli keluarga mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan