AM > BERITA

PERINGATAN SULTAN IBRAHIM JADI PEGANGAN PEMIMPIN BANGUNKAN JOHOR

12/07/2024 06:07 PM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar semua pemimpin politik di Johor mengutamakan kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bukannya berpolitik semata-mata berjaya meletakkan fokus semua pihak kepada pembangunan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Sultan Ibrahim sentiasa bertitah selain memberi perhatian kepada kestabilan politik, keharmonian masyarakat pelbagai kaum juga perlu dititikberatkan kerana ia sangat penting untuk menarik minat pelabur antarabangsa. 

“Seri Paduka Baginda sentiasa ingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya sentiasa memberi perkhidmatan terbaik dan hanya berkempen apabila tiba musim pilihan raya. 

"Seri Paduka Baginda juga mengingatkan ADUN dan Ahli Parlimen (di Johor) untuk selesaikan isu di kawasan masing-masing dalam tempoh masa yang diamanahkan rakyat,” katanya dalam temu bual di kediaman rasminya di Saujana, di sini baru-baru ini.

Selain itu, Onn Hafiz berkata sepanjang Sultan Ibrahim memayungi Johor, Seri Paduka Baginda berjaya menjadikan negeri itu sebagai sebuah kuasa besar ekonomi dalam negara menerusi kemasukan pelaburan asing yang direkodkan sejak beberapa tahun lepas.

“Sebelum Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, setiap minggu saya pergi menghadap untuk membincangkan pembangunan negeri melibatkan ekonomi, pelancongan, kebersihan dan kebajikan rakyat. Semua perkara dibincangkan.

“Tuanku banyak memberi nasihat kepada kami (pemimpin negeri) untuk buat yang terbaik bagi rakyat Johor,” katanya.

Onn Hafiz yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 sejak 15 Mac 2022 berkata corak pentadbiran yang diamalkan Sultan Ibrahim terbukti berkesan apabila negeri itu berjaya menarik pelaburan bernilai RM70.6 bilion dalam pelbagai sektor pada 2022, tertinggi dalam negara.

“Dari segi pelaburan langsung asing (FDI), import dan eksport ekonomi Johor adalah antara yang terbaik dalam negara. Saya yakin perkara ini berlaku kerana ada kestabilan di Johor, bukan sahaja aspek politik, tetapi juga institusi Diraja yang sentiasa memastikan kestabilan keseluruhan (melibatkan pelbagai aspek).

“Sebab itu ada keyakinan pelabur untuk datang ke Johor. Rakyat juga secara keseluruhan percaya kepada pucuk pimpinan negeri. Hubungan simbiosis di Johor ini cukup baik, stabil di bawah naungan Tuanku,” katanya. 

Pada 16 Mei lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata Johor mencatatkan RM31 bilion FDI pada 2023 dengan sebahagian besarnya dipacu oleh sektor perkhidmatan. 

Lee berkata Johor juga berjaya merekodkan RM12.05 bilion pelaburan langsung domestik (DDI) tahun lepas dengan sektor perkhidmatan menyumbang RM6.86 bilion dan sektor perkilangan RM5.18 bilion.

Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai dan bersempena dengan istiadat itu, BERNAMA TV akan menyiarkan dokumentari “Di Sebalik Mahkota” pada 19 Julai ini

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan