AM > BERITA

PAC SYOR KPT GUNA GARIS PANDUAN PELABURAN UNIVERSITI AWAM UNTUK ANAK SYARIKAT

15/07/2024 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpendapat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh mempertimbang pelaksanaan dan pemakaian Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan kementerian itu.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pembangunan dan penguatkuasaan garis panduan itu untuk diguna pakai semua universiti awam dilihat adalah baik.

“Dalam usaha memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pembiayaan dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173 (Akta Universiti Teknologi Mara), KPT telah menyediakan Proses Permohonan Pelaburan dan Pinjaman di peringkat UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan KPT.

“PAC berpandangan manual operasi standard yang telah disediakan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh KPT dan UiTM dan dalam masa sama ia tidak terikat dengan kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAC hari ini membentangkan laporannya terhadap tindakan susulan KPT dan UiTM bagi syor-syor laporan PAC berhubung UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB).

Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu telah mengadakan prosiding tindakan susulan pegawai pengawal ke atas syor-syor PAC Parlimen bagi Laporan PAC Parlimen pada 9 Julai lepas.

Antara saksi yang hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Dr Shahrazat Ahmad, Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UiTM Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Penolong Pengurus Besar UHSB Syed Azharuddin Al-Habshi.

“PAC mengambil maklum usaha yang diambil KPT, UiTM dan UHSB bagi memastikan pengurusan aktiviti UiTM Holdings diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan serta mengikut amalan tadbir urus korporat yang baik.

“Lanjutan daripada syor-syor PAC mengenai isu dalam memastikan sistem kawal selia yang lebih efektif ke atas UHSB dan syarikat subsidiari supaya lebih menjana keuntungan dan mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan, jawatankuasa ini telah dimaklumkan dengan langkah-langkah telah diambil oleh KPT dan UiTM,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan