AM > BERITA

SULTAN PAHANG SANTUNI PENDUDUK KAMPUNG TEKEK PULAU TIOMAN

12/07/2024 05:40 PM

TIOMAN, 12 Julai (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyantuni penduduk Kampung Tekek di sini, pada program Jelajah Saringan Kesihatan Rakyat hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 12.20 tengah hari disambut  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Seri Johari Hussain dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman Datuk Idros Yahya.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan beramah mesra dengan penduduk tempatan selain turut mengambil peluang menyemak kandungan gula dan kolesterol dalam darah serta tekanan darah. 

Penyelaras Perubatan Jelajah Saringan Kesihatan Rakyat Dr Rosmaliza Kamaruddin berkata program saringan kesihatan percuma anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu  melibatkan 15 petugas kesihatan yang memanfaatkan 200 penduduk setempat.

"Tujuan utamanya adalah untuk memastikan penduduk bersiap sedia berdepan risiko penyakit dan apabila sudah disaring jika penduduk didapati mempunyai simptom penyakit tertentu, kita akan rujuk kepada klinik berdekatan untuk rawatan susulan," katanya kepada Bernama selepas program berkenaan.

Sementara itu, Johari menyifatkan program berkenaan dapat merapatkan hubungan rakyat dengan raja yang diterjemahkan menerusi keberangkatan tiba baginda berdua ke pulau pelancongan tersebut.

"Ini adalah kali pertama kedatangan Tuanku ke Pulau Tioman sebagai Sultan Pahang selepas tamat tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong dan ia pasti menjadi satu kenangan manis buat penduduk di sini," katanya.

Seorang penduduk, Wan Abdul Halim Wan Wahab, 31, berkata program seumpama ini memberi kemudahan kepada masyarakat setempat melakukan saringan kesihatan antaranya pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan gula dalam darah (glukosa), ukuran indeks jisim badan (BMI) serta konsultasi doktor tanpa perlu ke tanah besar.

"Bagus ada program ini, orang kampung tidak perlu bersusah payah keluar jauh ke kota sehingga mengambil tempoh panjang bagi melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya yang telah enam tahun menetap di situ.

Bagi Mohd Ali, 68, kesempatan program itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan membawa isteri, Norliza Tapa, 55, yang kini sedang dalam rawatan akibat penyakit kencing manis dihadapinya.

"Tangan isteri ada luka yang belum sembuh, jadi saya mahu doktor tolong periksa," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan