AM > BERITA

SAUKASS LANCAR KASUT 'BUDI' SEMPENA HARI PENEROKA FELDA

12/07/2024 09:33 PM

SERDANG, 12 Julai (Bernama) -- SAUKASS International Sdn Bhd melancarkan kasut sniker berjenama ‘Budi’ sempena Hari Peneroka Felda 2024 yang bermula hari ini hingga Ahad di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pengarah SAUKASS Muhammad Ikmal Aliff Md Mustafa berkata kasut Budi mempamerkan warna jingga dan putih berharga RM159 sepasang itu, sebagai penghargaan kepada Felda yang banyak menyumbang kepada usahawan tempatan.

“Kita bermula untuk menghasilkan kasut Budi sejak Januari tahun ini dan rekaan ini dihasilkan anak muda Felda Pahang. Alhamdulillah ia diterima baik pihak Felda dan kami berjaya mengeluarkan 1,000 pasang kasut Budi sempena program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kasut berkenaan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang di sini hari ini.

Muhammad Ikmal Aliff yang berasal dari FELDA Lawin Selatan, Lenggong, Perak berkata syarikatnya menghasilkan rekaan kasut membawa elemen ‘jalan penceritaan’ khusus untuk golongan anak muda.

“Elemen yang diketengahkan SAUKASS ini adalah seperti jalan cerita kita yang bermula daripada perniagaan pasar malam dan kita cuba untuk tembusi pasaran antarabangsa.

“Kita menggunakan medium sosial media seperti TikTok dan laman sesawang SAUKASS. Sejak dua tahun lepas, 130,000 pasang kasut telah terjual di platform TikTok,” katanya.

Sementara itu Rubiah berkata kejayaan SAUKASS dapat menjadi contoh buat usahawan Felda untuk terus maju sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara. 

“SAUKASS yang ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu telah berjaya mempamerkan usaha yang begitu baik dan kreatif selain mencipta kasut yang bersesuaian anak muda pada masa ini,” katanya.

Sambutan Hari Peneroka Felda yang julung kali diadakan selama tiga hari pada tahun ini menyasarkan kehadiran 500,000 warga peneroka dan generasi baharu Felda serta orang ramai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan acara itu pada Ahad ini.

Hari Peneroka pada 7 Julai setiap tahun ditetapkan Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein  yang juga pengasas Felda sebagai penghormatan kepada peneroka Felda yang telah menyumbang kepada pembangunan negara. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan