AM > BERITA

RAJA ZARITH SOFIAH TINJAU PERSIAPAN ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

13/07/2024 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan meninjau persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.

Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda telah memperincikan persiapan Majlis Santapan Diraja yang akan diadakan pada sebelah malam, 20 Julai di Istana Negara.

Selain itu Raja Zarith Sofiah juga berkenan meneliti Cendera Kenangan untuk para tetamu dan perhiasan bagi setiap acara yang berlangsung sempena istiadat pertabalan.

Acara-acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula pada 18 Julai ini dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara, diikuti Khutbah Jumaat khas pada 19 Julai.

Pada 23 Julai, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak manakala Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai.

Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan