AM > BERITA

SSPA DIUMUM DALAM MASA TERDEKAT, ANTARA TERBAIK PERNAH DILAKSANA - PM

13/07/2024 04:48 PM

BANGI, 13 Julai (Bernama) -- Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumum dalam masa terdekat adalah antara yang terbaik pernah dilaksanakan oleh kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata SSPA akan diumum dan dimuktamadkan semasa Belanjawan 2025.

"Saya nak pastikan apabila saya umum begitu, segala kelompangan diisi," katanya pada majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata meskipun kerajaan dibebani hutang RM1.5 trilion namun ia komited dalam memastikan gaji penjawat awam dinaikkan melebihi 13 peratus bermula Disember ini.

"SSPA ini ada dua pihak kritik. Ahli ekonomi kata Anwar tidak praktikal, dia nak popular maka tidak ada wang, dia naik juga dan jumlahnya besar. Yang satu pihak lagi (pembangkang) kata tidak mungkin berlaku," katanya.

Beliau berkata kritikan itu bagaimanapun tidak mengganggu pandangan dan keputusan kerajaan dalam melaksanakan SSPA.

Anwar berkata beliau sebagai Menteri Kewangan bersama dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertungkus lumus dan mencari jalan dalam melaksanakan perkara itu.

Pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara.

Kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan