AM > BERITA

MALAYSIA MENGUTUK DENGAN TEGAS SERANGAN BERTERUSAN ISRAEL TERHADAP RAKYAT PALESTIN

14/07/2024 02:08 PM

PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin, termasuk serangan udara pada 13 Julai di kem pelarian al-Mawasi yang meragut banyak nyawa tidak berdosa, termasuk wanita dan kanak-kanak serta mencederakan ratusan orang yang lain.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di kawasan yang ditetapkan oleh Israel sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin, menunjukkan pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.

"Ia juga bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa.

"Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman yang berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar juga menekankan bahawa keganasan yang berterusan itu secara jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024) yang menyeru untuk menghentikan segera peperangan, melindungi penduduk awam dan memberi akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza.

Ia seterusnya menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas bagi mengakhiri keganasan Israel dan menuntut pemimpin-pemimpin Israel bertanggungjawab ke atas jenayah tidak berperikemanusiaan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan