SUKAN > BERITA

PROTOKOL TINDAK BALAS KECEMASAN PENTING KENDALI SERANGAN JANTUNG PADA ACARA SUKAN

16/07/2024 11:57 AM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 16 Julai  (Bernama) -- Protokol bertulis yang jelas bagi tindak balas kecemasan pada acara sukan adalah penting untuk memastikan semua petugas bersedia bertindak pantas sekiranya berlaku serangan jantung secara tiba-tiba melibatkan atlet muda, kata pakar pemulihan jantung.

Prof Madya Dr Hashbullah Ismail daripada Makmal Fisiologi dan Pemulihan Senaman, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA berkata penting untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli pasukan yang terlatih dalam memberikan pertolongan cemas dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) pada setiap acara sukan.

"Pengaktifan segera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS) tempatan tidak boleh dilengahkan dan komunikasi awal amat penting. Sebuah telefon yang berfungsi perlu ada di lokasi setiap masa.

"Semua petugas harus peka sepenuhnya tentang langkah-langkah yang perlu diambil jika kejadian seumpama itu berlaku. Jangkaan dan persediaan rapi termasuk latihan, kakitangan dan peralatan adalah penting.

"Persiapan yang betul dapat menentukan hidup mati seseorang," katanya kepada Bernama sebagai mengulas beberapa kes pemain badminton yang rebah di gelanggang dan meninggal dunia beberapa tahun ini, termasuk kematian membabitkan pemain Cina Zhang Zhijie baru-baru ini.

Pada 30 Jun lepas, Zhang, 17, rebah di gelanggang semasa Kejohanan Badminton Remaja Asia 2024 di Yogyakarta, Indonesia.

Beliau disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, dengan punca kematian dipercayai akibat serangan jantung. Kontroversi tercetus susulan kematiannya, terutama mengenai tempoh masa yang diambil pasukan perubatan bertugas pada kejohanan itu untuk memberikan pertolongan cemas.

Dr Hashbullah turut menekankan keperluan individu yang mahir dalam pengurusan saluran pernafasan utama.

"Jika perlu, seorang pengamal yang mahir dalam memberikan sokongan hayat kardiovaskular lanjutan (ACLS) dan sokongan hayat trauma lanjutan (ATLS) perlu hadir pada setiap acara.

"Peralatan khusus amat mustahak ketika kecemasan berlaku yang boleh menyelamatkan nyawa iaitu defibrilator luaran automatik (AED) dan alat bantuan saluran pernafasan dan pengudaraan," katanya.

Dr Hashbullah berkata menurut satu kajian, punca paling lazim serangan jantung secara tiba-tiba dalam kalangan atlet muda ialah kardiomiopati hipertrofik (HCM) yang menyumbang 30 peratus kematian.

"HCM ialah penyakit yang dicirikan oleh hipertrofik otot jantung tanpa pengembangan ruang kiri bawah jantung (ventrikal kiri)," katanya.

Ketika ditanya mengenai langkah pencegahan yang boleh diambil pertubuhan sukan untuk mengurangkan risiko serangan jantung dalam kalangan atlet muda, Dr Hashbullah berkata adalah perlu bagi organisasi sukan, penganjur acara dan sekolah mendapatkan kebenaran daripada pihak keluarga.

"Kebenaran mesti merangkumi maklumat penting keluarga dan status kesihatan anak mereka seperti sejarah kesihatan peribadi yang berkaitan dengan sakit dada dan sejarah keluarga berhubung kematian mengejut.

"Mereka yang mempunyai sejarah berisiko tinggi perlu menjalani pemeriksaan fizikal di hospital atau pusat kesihatan sebelum menyertai aktiviti lasak dan berintensiti tinggi. Hal ini akan mewujudkan kesedaran dan merupakan langkah pencegahan penting untuk mengurangkan risiko serangan jantung," katanya.

Dr Hashbullah yang juga Ketua di Asia College of Exercise Medicine (ACEM) Medical & Rehabilitation Centre di Damansara Damai, Selangor berkata adalah penting untuk melakukan penilaian fizikal sebelum penyertaan meliputi soal selidik kesihatan dan pemeriksaan fizikal yang penting untuk atlet muda.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan