AM > BERITA

BULI SIBER PEMPENGARUH DI TIKTOK: KERTAS SIASATAN DIRUJUK KEPADA TPR ESOK

14/07/2024 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kertas siasatan melibatkan beberapa individu berhubung kes ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap pempengaruh media sosial A. Rajeswary atau lebih dikenali Esha akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata setakat ini 11 individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Kertas siasatan dalam proses dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan tempoh reman pemandu lori yang ditahan berkaitan kes itu dilanjutkan dua hari hingga 16 Julai.

Sebelum ini, Ahmad Sukarno memaklumkan lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada 6.30 petang di Setapak, Rabu lepas.

Selain itu, seorang wanita tempatan yang merupakan pembantu rumah jagaan orang tua berusia 35 tahun turut ditahan berkaitan kes itu dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat pada Jumaat.

Kedua-dua individu itu disyaki melemparkan kata ugutan dan ancaman terhadap mangsa serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah menerusi TikTok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan aib.

Dalam kes melibatkan individu lain, Ahmad Sukarno berkata pihaknya sudah mengenal pasti tiga individu yang dipercayai melakukan buli siber terhadap mendiang Esha, 30, susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Gombak, Jumaat lepas.

“Tiga individu itu sudah dikenal pasti identitinya dan kita dalam tindakan untuk merakam keterangan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini berhubung buli siber yang dihadapinya.

Laporan itu kemudian dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan