AM > BERITA

MALAYSIA SASAR PENGELUARAN 40 PERATUS SEKTOR AKUAKULTUR MENJELANG 2030

16/07/2024 02:42 PM

GEORGE TOWN, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia menyasarkan pengeluaran 40 peratus hasil sektor akuakultur menjelang 2030 dalam usaha membantu mengimbangi keperluan perikanan negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup. 

Beliau berkata ketika ini, pengeluaran akuakultur mewakili 30 peratus daripada jumlah pengeluaran perikanan dan negara merekodkan penggunaan ikan serta produk perikanan per kapita pada 45 kilogram tahun lepas. 

"Sektor itu juga menyokong 148,000 nelayan dan penternak akuakultur, jadi menyedari kepentingan sektor terbabit pelbagai usaha untuk mengurus serta membangunkan sektor perikanan secara mampan menjadi keutamaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan jangka panjang.

"Dalam memastikan sasaran itu dapat dicapai, kami juga mengambil beberapa langkah penting antaranya peralatan yang sesuai, mengaplikasikan penggunaan teknologi inovasi yang lebih cekap untuk memastikan kemampanan serta kecekapan industri perikanan termasuk usaha-usaha konservasi, dalam masa sama meningkatkan akta-kata berkaitan perikanan agar mampan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres Institut Antarabangsa Ekonomi dan Perdagangan Perikanan (IIFET) ke-21 di sini hari ini yang dianjurkan oleh WorldFish dan Jabatan Perikanan Malaysia bermula semalam hingga 19 Julai ini dengan mengumpulkan lebih 200 perwakilan dari dalam serta luar negara termasuk pakar global untuk membincangkan "Sistem Makanan Akuatik dalam Ekonomi Biru".

Kongres itu juga memberi tumpuan pada persilangan antara ekonomi dan perdagangan perikanan serta akuakultur dengan cabaran global utama termasuk kelestarian sistem makanan, ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang semakin meningkat, krisis iklim serta kemungkinan pandemik pada masa depan.

Sementara itu, Arthur berkata sektor perikanan merupakan sebahagian penting daripada keselamatan makanan Malaysia, pembangunan sosioekonomi, peluang ekonomi dan perdagangan serta usaha perlindungan budaya dan alam sekitar.

Beliau berkata pada tahun lepas, sektor perikanan menghasilkan kira-kira 1.79 juta tan metrik ikan yang menyumbang 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai dagangan sebanyak US$3.51 bilion.

"Menjelang 2030, kita perlu hasilkan 2.55 juta tan metrik ikan setahun untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, jadi kami menyasarkan untuk meningkatkan nisbah kecukupan sendiri atau kadar sara diri kepada 97 peratus menjelang 2030 daripada 90 peratus pada masa ini," katanya.

Justeru, beliau berkata penting untuk Malaysia mentransformasi sektor terbabit dengan menyediakan teknologi dan kapasiti teknikal yang diperlukan kepada petani serta nelayan untuk terus maju.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan