AM > BERITA

MELAKA SASAR 10 UJIAN PERKHIDMATAN SELULAR SETAHUN - EXCO

16/07/2024 07:21 PM

JASIN, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan untuk mengadakan sekurang-kurangnya 10 Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular pada setiap tahun bagi menilai prestasi perkhidmatan rangkaian mudah alih di Melaka.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata program itu dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi kerajaan berkaitan bersama syarikat telco terlibat dalam menambah baik kualiti perkhidmatan telekomunikasi.

"Kesemua ujian dilakukan mengikut laluan yang dikenal pasti dengan menumpukan kepada aduan diterima selain isu seperti panggilan suara, 'dropped call' (khidmat panggilan terputus tiba-tiba), jalur lebar dan 100 peratus kawasan berpenduduk.

"Setakat ini pihak kita telah menjalankan dua ujian dan akan dilakukan secara berperingkat hingga penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas program itu di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Asahan di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah MCMC Melaka Syed Isa Alsagoff, Pengarah Jabatan Penerangan negeri Ab Rasil Hajatil dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Mohd Jailani Deraman.

Terdahulu, Fairul Nizam menyertai Ujian Panggilan Suara dan Kualiti Internet membabitkan laluan sejauh 79 kilometer bermula di Sungai Petai, Rembia dan berakhir di Asahan.

Beliau berkata ujian dilakukan di laluan perhubungan utama antara Alor Gajah, Jasin dan kawasan yang dikenal pasti mempunyai liputan rendah dan taburan penempatan signifikan.

"Sehubungan itu penyedia perkhidmatan berkaitan diberi tempoh sebulan dan diminta mengambil tindakan segera dan seterusnya melaporkan kerja-kerja penambahbaikan yang dilaksanakan kepada kerajaan negeri melalui MCMC," katanya.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam kerajaan negeri menyasarkan 11 menara telekomunikasi akan dibina menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Kedua bermula awal tahun ini.

Beliau berkata inisiatif itu bagi memastikan sasaran 100 peratus liputan jalur lebar membabitkan kawasan berpenduduk dicapai menjelang penghujung 2025.

"Dalam tempoh pelaksanaan ini kita akan memantau beberapa titik buta liputan yang perlu penambahbaikan untuk memastikan kualiti capaian terbaik di negeri ini selain memberi tumpuan di kawasan luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan