AM > BERITA

STRATEGI ESG LIMA TAHUN CELCOMDIGI: UNTUK MASYARAKAT DIGITAL INKLUSIF, MAMPAN, DIPERCAYAI

16/07/2024 10:32 PM

PETALING JAYA, 16 Julai (Bernama) -- CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini berkongsi strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) lima tahunnya, yang dirangka untuk memajukan inisiatif kelestarian dan meningkatkan kepercayaan sebagai asas dalam pembinaan masyarakat digital.

Strategi itu memperlihatkan kesungguhan syarikat berkenaan dalam memperluaskan usaha menangani isu kelestarian bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang berkaitan sektor telekomunikasi melalui perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata strategi ESG syarikat itu menumpu kepada empat bidang dalam membina masyarakat digital yang inklusif, mampan dan dipercayai.

Beliau berkata bidang tersebut termasuk menyediakan akses digital yang inklusif dan selamat untuk seluruh rakyat Malaysia, mengekalkan rantaian nilai yang mampan, membina budaya tadbir urus dan prestasi yang baik serta mengurus impak dan tindakan terhadap alam sekitar.

"Bidang ini menitikberatkan keseimbangan antara membina hasil yang positif untuk masyarakat, mengurus impak alam sekitar untuk masa depan yang lebih bersih dan mengendalikan perniagaan secara bertanggungjawab,” katanya pada persidangan Hari ESG 2024 yang julung kali oleh CelcomDigi di sini hari ini.

Beliau berkata bidang tumpuan tersebut berpandukan kepada standard ESG global seperti Inisiatif Pelaporan Global (GRI), Lembaga Piawaian Perakaunan Kelestarian (SASB), Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) dan Metrik ESG GSMA untuk industri mudah alih, selain berpandukan kepada harapan pihak berkepentingan serta perubahan dasar dan peraturan. 

“Sebagai pengendali telekomunikasi terbesar negara, kami memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dan perniagaan.

“Didorong oleh prinsip pemerkasaan melalui akses, kami memberi tumpuan kepada penyediaan rangkaian yang luas dan berkualiti tinggi bagi membolehkan penggunaan pelbagai perkhidmatan dan aplikasi dengan cara yang selamat dan berpatutan iaitu prinsip utama untuk membina masyarakat digital.

“Tidak kurang pentingnya adalah komitmen kami untuk menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab dan tumpuan kami kepada semua bidang yang memberi impak kepada masyarakat, melaksanakan tanggungjawab terhadap pihak berkepentingan dan kewajipan untuk mengamalkan standard tadbir urus korporat yang tinggi,” katanya. 

Beliau berkata pemacu utama dalam melaksanakan strategi berkenaan ialah dengan memanfaatkan kelebihan skala dan sinergi penggabungan.

“Kami telah memulakan aktiviti integrasi dan transformasi yang meluas merentasi operasi perniagaan antaranya menerusi integrasi dan permodenan rangkaian di seluruh negara dan insfrastruktur IT kami, pemodenan pusat data, peningkatan keselamatan siber, penubuhan ‘CelcomDigi AI Experience Centre’ (AiX) serta transformasi jualan dan jenama

“Secara khususnya, memodenkan rangkaian dengan keupayaan cekap tenaga dan tenaga boleh diperbaharui yang terkini akan melancarkan lagi usaha peralihan kami ke operasi rendah karbon,” katanya. 

Selain itu, Idham berkata pihaknya juga akan terus melabur dalam pelbagai program komuniti untuk mengurangkan risiko sosial dan memajukan pemerkasaan digital seperti inisiatif ‘Anti-Scam’, keselamatan Internet, kemahiran masa hadapan dan pembangunan vendor.

Beliau berkata dengan gabungan pelaburan tersebut, pihaknya yakin dapat memenuhi komitmen ESG dalam tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan