POLIS TERIMA ENAM LAPORAN PENIPUAN BERKAITAN PEMBEKALAN MAKANAN KEPADA BOMBA

16/07/2024 10:19 PM

JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) -- Polis Johor menerima enam laporan berkaitan kes penipuan pembekalan makanan kononnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri itu membabitkan kerugian RM24,900.

Ketua Polis Johor CP M. Kumar berkata laporan itu diterima antara Jumaat lepas hingga semalam dengan kesemua mangsa melibatkan pengusaha perniagaan katering.

Beliau berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang menawarkan tender pembekalan untuk majlis-majlis bakal diadakan jabatan berkenaan.

Mangsa katanya diarahkan membuat pembayaran pada jumlah tertentu ke akaun bank yang ditetapkan sekiranya mahu mendapatkan tender berkenaan.

“Mangsa yang percaya dengan tawaran itu seterusnya membuat pembayaran seperti diarahkan dan hanya menyedari mereka ditipu setelah semakan dibuat dengan JBPM dan disahkan ia tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu Pengarah JBPM Johor Siti Rohani Nadir dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya mendapati modus operandi kes itu adalah dengan memberi surat tawaran pembekalan makanan bermasak bagi majlis anjuran jabatan berkenaan.

Beliau berkata suspek meminta mangsa memberi sejumlah wang bagi tujuan pembelian cenderahati dan pembayaran perlu dibuat kepada pihak ketiga namun selepas pembayaran dibuat, suspek gagal dihubungi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan