AM > BERITA

HOSPITAL TENGKU ANIS AKAN DIJADIKAN PUSAT KECEMERLANGAN, RUJUKAN PERKHIDMATAN FISIOTERAPI

17/07/2024 11:38 PM

KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Hospital Tengku Anis (HTA) di Pasir Puteh akan dijadikan pusat kecemerlangan dan rujukan bagi perkhidmatan fisioterapi di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar pakar-pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk memberi perkhidmatan di HTA.

"Kami dalam proses menjadikan HTA sebagai pusat kecemerlangan fisioterapi, namun ia masih lagi diperingkat permulaan dan pastinya perlukan banyak bantuan daripada Kementerian Kesihatan.

“Kita rancang dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi untuk melengkapkannya termasuk dari segi kepakaran dan peralatan bergantung kepada peruntukan dan kewangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Fisioterapi Kementerian Kesihatan kali ketujuh di sini hari ini.

Dr Zaini berkata semua hospital di negeri ini menyediakan perkhidmatan rawatan fisioterapi namun jabatan kesihatan negeri berhasrat memusatkan perkhidmatan fisioterapi di HTA bagi mengurangkan kesesakan di HRPZ.

Beliau berkata pendekatan itu telah dilaksanakan sebelum ini dengan menjadikan Hospital Pasir Mas sebagai pusat kecemerlangan dan rujukan rehabilitasi. 

Berkaitan penularan demam kepialu di sebuah sekolah menengah di sini, Dr Zaini memaklumkan tiada kes baharu direkodkan dengan saringan terakhir dilakukan 7 Julai lepas.

"Alhamdulillah wabak itu telah dapat dikawal dan kita telah lakukan saringan tifoid atau demam kepialu kepada lebih 1,000 individu yang berisiko di sekitar kawasan terbabit," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan