AM > BERITA

ROYAL FLORIA PUTRAJAYA SASAR LEBIH SEJUTA PENGUNJUNG

18/07/2024 01:15 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (Royal FLORIA Putrajaya) yang akan diadakan di Persisiran Tasik, Presint 2 di sini pada 22 Ogos hingga 1 Sept ini menyasarkan kehadiran lebih sejuta pengunjung. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata penganjuran Royal FLORIA Putrajaya ke-13 yang bertemakan ‘Raikan Bersama!’ itu bakal mengetengahkan bunga Petunia sebagai tema.

“Festival ini juga akan mempamerkan lebih 700,000 bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna dan kegunaan yang saya percaya pasti ada diantaranya tidak pernah kita lihat sebelum ini.

“Saya percaya dengan kerjasama dan sokongan diberikan semua pihak Royal FLORIA Putrajaya 2024 mampu mencapai satu tahap lebih tinggi dalam melonjakkan semula ekonomi terutama industri nurseri dan bunga-bungaan di Malaysia,” katanya dalam ucapan sempena prapelancaran Royal FLORIA Putrajaya 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran festival itu bertepatan dengan matlamat perancangan dan pembangunan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan yang berkonsepkan ‘intelligent garden city’ dengan menggabungkan elemen moden, pintar dan alam semula jadi.

“Festival ini bukan sahaja menyajikan keindahan bunga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di dalam dan luar negara kepada para pengunjung malah turut menambah seri keindahan seni bina Putrajaya yang tersergam megah dengan keunikan dan ciri tersendiri,” katanya.

Beliau berkata penganjuran festival itu juga amat bertepatan dengan semangat meraikan Bulan Kebangsaan kerana Putrajaya sekali lagi menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Penganjuran acara besar dan bertaraf antarabangsa seperti ini membuktikan komitmen berterusan Jabatan Wilayah Persekutuan melalui agensinya Perbadanan Putrajaya untuk terus membangun dan memajukan Putrajaya,” katanya.

Dalam sidang media berasingan, Dr Zaliha berkata tarikan utama festival itu ialah Astaka Flora iaitu pameran bunga-bungaan dalam bangunan melibatkan penyertaan daripada 10 buah negara bagi kategori gubahan bunga (flower bouquet) dan pameran.

“Ini (Astaka Flora) adalah pameran bunga dalam bangunan yang bertemakan ‘tropical wonders’ dan lebih 100 aktiviti sampingan turut disediakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan