AM > BERITA

PRODUK ISTIMEWA PELBAGAI NEGERI DIPAMERKAN SEMPENA PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN

17/07/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Produk-produk istimewa dari pelbagai negeri akan dipamerkan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 pada 21 Julai ini di Cyberjaya.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Muhammad Najmi Mustapha berkata hasil kreativiti dari negeri-negeri berkenaan termasuk makanan dan kraftangan akan ditonjolkan menggunakan konsep interaktif. 

“Pada majlis ini kita akan bawa 25 reruai jabatan dan agensi kerajaan dan daripada jumlah itu 12 reruai pameran milik setiap negeri dan Komuniti MADANI akan datang membawa produk unik yang dihasilkan di negeri masing-masing.

“Contohnya di Perlis ada satu produk pembuatan kuih tradisional maka di situ ada demonstrasi penghasilan kuih itu, manakala di Kelantan ada batik jadi pengusaha batik akan buat demonstrasi canting termasuk pembuatan tanjak yang semuanya berasaskan kemahiran dan pertukangan tangan,” katanya dalam temu bual di Bernama Radio hari ini.

Muhammad Najmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan majlis pelancaran itu pada 2 petang di Cyber Event Hall. 

Perdana Menteri juga akan melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang melibatkan 65 kenderaan dan 90 peserta sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. 

Konvoi berkenaan termasuk empat unit kenderaan JAPEN, enam unit Polis Diraja Malaysia (satu SUV dan lima motosikal) dan 50 unit motosikal berkuasa tinggi Kelab Suzuki V-Strom Malaysia yang akan mengelilingi seluruh negara untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan