AM > BERITA

LEBIH RM731 JUTA DISALUR KEPADA USAHAWAN, KOPERASI SARAWAK PADA 2023 - EWON

18/07/2024 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM731.2 juta kepada 42,006 usahawan dan koperasi di Sarawak pada 2023, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata kementerian itu sentiasa prihatin dan komited dalam melaksanakan pelbagai program serta bantuan keusahawanan yang bersifat inklusif termasuk kepada usahawan bumiputera di Sarawak.

“Antara bantuan geran pembiayaan yang disediakan khusus kepada usahawan bumiputera di Sarawak ialah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) Plus Sarawak yang dilaksanakan SME Corp untuk PKS bumiputera di negeri itu. 

“Sejak dilaksanakan pada Sept 2023 hingga 31 Mei 2024, seramai 31 usahawan PKS Sarawak telah diluluskan geran berjumlah RM3.23 juta. Selain itu, sebanyak lapan usahawan PKS bumiputera di Sarawak menerima kelulusan geran BEEP berjumlah RM1.57 juta pada 2023,” katanya pada sesi soal jawab. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai statistik usahawan, jumlah geran pembiayaan dan jenis bantuan yang disalurkan khusus untuk masyarakat bumiputera di Sarawak. 

Ewon berkata di bawah program Tunas Usahawan Belia pula, SME Corp menyalurkan pembiayaan geran sebanyak RM540,000 kepada 36 peserta pada 2023, manakala pada 2024 geran berjumlah RM1.27 juta diluluskan kepada 115 peserta usahawan belia di Sarawak. 

Kementerian juga telah memulakan Projek Tamu Desa yang bertujuan membina dan menaik taraf kemudahan ruang niaga serta infrastruktur penjaja dan peniaga kecil di Sarawak pada 2024.

“Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM1.995 juta bagi pelaksanaan Fasa 1, merangkumi kerja-kerja naik taraf sebanyak 13 tapak tamu desa di Sarawak,” katanya. 

Selain itu, KUSKOP melalui agensinya turut menyediakan pembiayaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak.

Beliau berkata ini termasuk Bank Rakyat pada 2023 meluluskan pembiayaan kepada 175 usahawan PKS di Sarawak dengan nilai pembiayaan berjumlah RM105.3 juta dan SME Bank menyalurkan pembiayaan berjumlah RM130.71 juta kepada 41 usahawan PKS di Sarawak pada 2023. 

“Di samping itu, program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Sarawak juga dilaksanakan bagi 2023 dengan RM112,000 disalurkan kepada Koperasi Seni Seramik Kenyalang Berhad bagi pembangunan aksesori wanita berasaskan seramik di Kuching, Sarawak.

“Bagi 2021 pula sebanyak RM110,000 disalurkan kepada Koperasi Tambak Pusa Berhad bagi industri gula apong di Pusa, Sarawak di bawah Program SDSI ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan