ANGGOTA JPJ HADAPI 40 PERTUDUHAN GAGAL LAPOR PEMBERIAN RASUAH RM42,100

18/07/2024 03:48 PM

ALOR SETAR, 18 Julai (Bernama) -- Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Seysen di sini hari ini, atas 40 pertuduhan gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM42,100 antara 2016 dan 2019.

Mohamad Sobri Osman, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan.

Lelaki itu yang bertugas sebagai pegawai pemeriksa kereta motor di JPJ Cawangan Kuala Ketil, Baling didakwa diberikan suapan berjumlah RM42,100 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan di Maybank cawangan Alor Setar, di sini antara 10 Mac 2016 dan 8 Okt 2019.

Kesemua suapan itu diterima Mohamad Sobri menerusi 40 transaksi menggunakan akaun bank milik seorang individu lain, bertujuan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat pengangkutan terbabit yang mungkin akan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin memohon mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan tersebut.

Namun, peguam Mohamed Firdaus M Farouk yang mewakili tertuduh, memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan tertuduh yang sudah berkahwin memiliki dua anak masih bersekolah, dan dijangka digantung daripada pekerjaan.

Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudiannya menetapkan jaminan RM27,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos sebagai tarikh sebuatan semula kes dan serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan