AM > BERITA

BAHANG KEMERIAHAN ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG SEMAKIN TERASA

18/07/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bahang Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang berbaki dua hari lagi, kini semakin terasa dengan gegantung dan papan iklan memaparkan acara bersejarah tersebut semakin banyak kelihatan di tempat-tempat awam.

Tinjauan Bernama mendapati suasana di sekitar ibu negara juga dimeriahkan dengan kehadiran paparan digital di lokasi tumpuan utama, antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Seri Paduka Baginda.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan lebih 1,000 gegantung sempena berlangsungnya acara itu, dipamerkan di bahu jalan bermula Jumaat (12 Julai) sehingga 30 Julai.

Selain kawasan Istana Negara, DBKL memaklumkan gegantung turut dipasang di 23 lokasi lain sekitar ibu kota terlibat termasuk Jalan Syed Putra, Jalan Parlimen, Jalan Ampang, Dataran Merdeka dan Jalan Bukit Bintang.

“DBKL membantu dari aspek pemasangan gegantung ini. Proses pemasangan gegantung mengambil masa lima hari dan diharap ia dapat menyemarakkan lagi suasana istiadat penuh simbolik dan julung kali dapat disaksikan kerana diadakan hanya lima tahun sekali,” katanya kepada Bernama.

Kehangatan tersebut turut dirasai Eksekutif Pemasaran Nor Hidayah Zulkifli, 27, yang pertama kali berada di ibu kota untuk bercuti bersama keluarga dan tidak mahu ketinggalan menyaksikan acara yang menunjukkan identiti Kesultanan Melayu serta keunikan negara, yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Pencipta kandungan Nur Fitri Najwa, 27, pula teruja untuk menyaksikan upacara tersebut, yang berlaku hanya sekali dalam tempoh lima tahun.

“Semua orang sangat teruja untuk melihat apa yang akan berlaku Sabtu ini. Kita semua sebagai rakyat Malaysia sememangnya tertunggu-tunggu saat ini, sebab ini dalam sejarah lima tahun sekali dan marilah beramai-ramai kita menyaksikan pertabalan Sabtu ini,” katanya.

Sementara itu pembantu peribadi Nur Syazwina Zakaria, 46, berharap agar Sultan Ibrahim dapat menjadi penaung negara yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Saya juga teruja untuk menonton upacara pertabalan nanti, memandangkan ia satu istiadat yang penuh dengan protokol yang jarang dapat disaksikan,” katanya.

Perunding Mohammad Fariq Mohammad Razalim, 46, pula berharap agar Sultan Ibrahim akan sentiasa menjadi Raja yang sentiasa mendengar permasalahan rakyat, terutama yang berkaitan kos sara hidup.

Mohammad Fariq berkata beliau akan mengejutkan anak-anaknya pada Sabtu nanti, untuk bersama-sama menonton upacara bersejarah tersebut menerusi siaran langsung acara itu di stesen televisyen tempatan.

Acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula hari ini dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara pada 5.30 petang, diikuti Khutbah Jumaat Khas keesokan harinya.

Tetamu diraja yang dijangka berangkat ke istiadat pertabalan Sultan Ibrahim pada Sabtu ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Acara lain yang akan diadakan ialah Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada Sabtu, manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenaan untuk berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai.

Selain itu, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai dan dibuka kepada umum sehari selepas itu hingga 2 Sept, yang memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat kira-kira 130 koleksi diraja sama ada peringkat Persekutuan ataupun negeri Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan