AM > BERITA

PAC LAKAR SEJARAH BENTANG PENYATA LAPORAN DI DEWAN RAKYAT

18/07/2024 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini melakar sejarah apabila buat julung kalinya penyata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibentang dan dibahas semasa persidangan. 

Penyata laporan Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) itu dibentang oleh Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta dibahas oleh empat Ahli Parlimen.

Ketika memulakan perbahasan, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengucapkan tahniah serta syabas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kerana membenarkan PAC dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) memberikan penerangan.

“Tahniah Pengerusi PAC dan seluruh jawatankuasa PAC kerana tidak menunggu laporan Ketua Audit Negara untuk mengadakan prosiding ini, satu tindakan yang jauh ke hadapan,” katanya.

Semalam, Johari berkata PAC dan JKPK akan dibenar membentangkan penyata laporan masing-masing di Dewan Rakyat untuk memberi pemahaman kepada rakyat, selain ia juga adalah sebahagian usaha bagi meningkatkan tahap akauntabiliti dewan berkenaan.

Ahli PAC Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas keterbukaan beliau memberi peluang kepada jawatankuasa itu membentangkan penyata laporannya.

Mas Ermieyati, ketika sesi penggulungan, pula berkata pihaknya akan memberi perhatian kepada cadangan supaya PAC turut memanggil prosiding isu hal pegangan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Untuk isu yang dibangkitkan oleh Putrajaya, saya rasa bukan Putrajaya sahaja tetapi ramai Ahli Yang Berhormat syorkan kepada PAC untuk melihat MAHB, supaya PAC masuk dan juga panggil, insya-Allah kita akan beri perhatian kepada perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang mahu isu MAHB dibawa ke prosiding PAC supaya ia dapat dibuat dengan tatacara yang betul.

“HRD Corp ini adalah historical fact, benda yang telah berlaku, kita tengok macam mana nak gerak ke hadapan, ini sama dengan kes 1MDB, saya ingat lagi membaca laporan 1MDB yang dilakukan PAC dan itu telah lepas, sebab itu saya nak cadang kepada Pengerusi PAC bawa kepada PAC isu berkaitan penjualan 30 peratus blok besar MAHB kepada syarikat asing,” kata Radzi ketika membahaskan penyata laporan PAC.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan