AM > BERITA

"TERIMA KASIH TELAH BERKHIDMAT KEPADA NEGARA" - ANAK JURUTERBANG MH17

18/07/2024 08:44 PM

Daripada N.Sevagamy

VIJFHUIZEN, (Belanda), 18 Julai  (Bernama) -- Kehidupan Scot Choo sebagai kanak-kanak yang ketika itu baru berusia 11 tahun berubah sekelip mata selepas kematian bapanya, juruterbang Kapten Eugene Choo Jin, namun segala tunjuk ajar yang dicurahkan oleh insan tersayang itu tidak pernah dilupakan hingga ke hari ini.

Dan semalam (17 Julai) Scot, yang kini berusia 21 tahun, berdiri dengan megah di hadapan ribuan orang semasa upacara memperingati tragedi MH17 ke-10 yang diselubungi suasana pilu dan air mata, membacakan nama ayahnya dan kesemua anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

Dia melangkah ke pentas di Monumen Nasional MH17 di Taman Vijfhuizen, berhampiran Lapangan Terbang Achiphol, Amsterdam, sambil memegang senarai nama dan mula membacakan satu demi satu nama kapten - Wan Amran Wan Hussin, diiikut nama bapanya (Eugene Choo), Ahmad Hakimi Hanapi dan 12 kru kabin.

Selesai membaca nama kesemua anak kapal, dia mengakhiri dengan kata-kata, “Terima kasih telah berkhidmat kepada negara. Kami akan terus merindui kamu.”

Mengimbau tragedi tersebut, Scot berkata walaupun telah 10 tahun sejak bapanya terkorban dalam nahas Penerbangan MH17 itu, dia berasa seperti baru semalam ia berlaku. 

“Memang sudah 10 tahun, tempoh itu macam terlalu lama tetapi ia juga rasa seperti berlaku semalam. Saya berasa seolah-olah ayah tidak pernah meninggalkan kami dan dapat merasakan kehadirannya, 'memimpin’ kami melangkah ke masa depan.

“Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan. Apa yang pasti dia akan berada dalam hati kami sampai bila-bila dan saya bersyukur atas segala tunjuk ajarnya sepanjang saya melalui zaman kanak-kanak,” katanya kepada Bernama selepas upacara itu. 

Ditanya mengenai zaman kanak-kanaknya tanpa seorang bapa, Scot yang bercita-cita untuk mengikut jejak langkah insan kesayangannya itu, berkata apa yang dilalui memang sukar kerana dia masih terlalu muda ketika insiden itu berlaku.  

“Ketika itu saya baru berusia 11 tahun dan bila usia semakin dewasa perlahan-lahan saya cuba memahami apa yang berlaku yang sedikit sebanyak membantu saya untuk mengatakan, saya okay sekarang,” katanya yang baru menamatkan pengajian dalam Ijazah Kejuruteraan Aeroangkasa.

Sementara itu, ibunya Ivy Looi yang berterima kasih kepada kerajaan Belanda kerana melakukan kerja dengan baik sepanjang 10 tahun ini, berkata dia telah mampu meneruskan kehidupan selepas tragedi itu. 

Abang Scot, Melvic yang juga juruterbang bersama AirAsia turut menghadiri upacara memperingati tragedi MH17 ke-10 itu.

Kebanyakan penumpang pesawat malang itu adalah rakyat Belanda, selain dari 17 negara lagi termasuk Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh ketika melalui ruang udara di timur Ukraine sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapalnya pada 17 Julai 2014

Pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhi hukuman penjara seumur hidup secara ‘absentia’ (tanpa kehadiran) ke atas dua bekas ejen perisik Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.

Seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov dibebaskan atas tuduhan sama.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan