AM > BERITA

TVET TAHFIZ: ILP KANGAR JALIN KERJASAMA DENGAN AGENSI AGAMA NEGERI TARIK LEBIH PESERTA

18/07/2024 10:18 PM

KANGAR, 18 Julai (Bernama) -- Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar menjalin kerjasama dengan agensi agama di Perlis untuk menarik lebih ramai peserta dalam Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz.

Pengarah ILP Kangar Mohd Yusri Mohd Rahim berkata beliau optimis jalinan kerjasama dengan agensi itu akan membuka lebih banyak peluang kepada belia dengan latar belakang pendidikan agama di Perlis memasuki bidang kemahiran sekali gus menjadi nilai tambah kepada pelajar tahfiz dan lepasan sekolah agama.

"Pada sesi kali ini, hanya 14 orang sahaja yang berjaya menamatkan latihan TVET di ILP Kangar dan kita berharap jalinan kerjasama dengan agensi antaranya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE).

"Kita juga akan mempromosikan program TVET ini ke sekolah-sekolah agama, maahad tahfiz serta madrasah dan kita promosi melalui media sosial untuk pengambilan sesi kedua nanti," katanya kepada Bernama selepas Majlis Graduasi Tahfiz TVET di ILP Kangar hari ini.

Sementara itu, Muhammad Adi Muqri Mohd Yusri, 18, berkata latihan kemahiran yang dipelajari dan dipraktik selama tiga bulan memberikan kelebihan kepadanya dalam mencari peluang pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

"Saya ambil kursus Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal, selepas ini saya berhasrat menyambung pengajian di ILP dalam kursus Teknologi Mekatronik dan saya menggalakkan pelajar-pelajar di luar sana memasuki ILP ini bagi mengasah kemahiran," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan