BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 AM > BERITA

TIDAK MUNASABAH BUBAR GTWHI - CHOW

19/07/2024 03:46 PM

GEORGE TOWN, 19 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang menyifatkan cadangan membubarkan dan menutup Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) susulan kontroversi berkaitan video promosi Festival Georgetown 2024 satu permintaan tidak munasabah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata GTWHI yang wujud sejak 16 tahun lepas itu perlu dinilai dari segi peranan agensi berkenaan untuk memastikan George Town kekal sebagai tapak warisan dunia.

Beliau berkata GTWHI juga menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan World Heritage.

"Saya percaya video itu dipaparkan sejak lebih sebulan lepas, ia mengandungi isi kandungan yang bukan apa yang kita lihat hari ini, ia ada 80 program sepanjang (Festival George Town 2024).

"Kalau cuma kerana satu video mahu GTWHI dibubarkan, saya dapati ini satu permintaan yang tidak munasabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival George Town 2024 di sini hari ini.

Chow berkata demikian mengulas laporan akhbar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya daripada Bersatu Izhar Shah Arif Shah yang mencadangkan kerajaan negeri membubarkan GTWHI.

Terdahulu, GTWHI selaku penganjur Festival George Town 2024 meminta pihak kontraktor festival yang dilantik untuk menyelesaikan isu berkaitan video promosi yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sahaja.

Ia berikutan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti politik kesal dengan penyiaran video promosi sambutan festival berdurasi satu minit 47 saat yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.

Beliau berkata sejak dahulu lagi program-program yang diatur sepanjang Festival George Town berlangsung melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.

''Kalau kerana satu (video) dikatakan kesilapan, kita sudah arahkan penganjur untuk lakukan apa yang terbaik dan memberi penjelasan kepada kerajaan negeri," katanya.

Chow berkata selain penyertaan peringkat antarabangsa ia festival itu turut disertai sembilan kumpulan terdiri kaum Melayu membabitkan pelbagai bentuk persembahan, bengkel dan lain-lain. 

Sementara itu, bagi menghormati Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim esok beberapa acara hiburan di festival berkenaan ditangguh bagi menghormati istiadat pertabalan. 

Festival George Town dengan tema "Kini Di Sini" bermula hari ini hingga 28 Julai ini, bakal membawakan 80 program termasuk 53 acara persembahan artis tempatan dalam bentuk seni filem, teater, pameran, seni pemasangan dan pengalaman deria silang disiplin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan