AM > BERITA

IMUNITI AHLI PARLIMEN SEMASA BERUCAP, BERBAHAS ADA BATASNYA - PAKAR

20/07/2024 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) - Imuniti dan keistimewaan Ahli Parlimen semasa berucap atau berbahas pada sesi persidangan Dewan Rakyat masih terbatas di bawah peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, demikian menurut pakar politik serta perlembagaan.

Mereka berkata wakil rakyat perlu mencerminkan keperibadian terpuji dan perlu mengelak daripada kecenderungan untuk menghasut semasa berucap atau berbahas kerana ia adalah perkara yang dilarang sebagaimana digariskan secara terperinci oleh Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Bernama, pakar perlembagaan Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata walaupun Ahli Parlimen mempunyai imuniti dan dilindungi ketika berbahas di Dewan Rakyat namun mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau berkata hukuman penggantungan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan disifatkan sebagai wajar kerana telah bertindak secara tidak profesional dan menyalahi tatakelola disiplin dan peraturan mesyuarat. 

"Keistimewaan diperoleh Ahli-Ahli Parlimen di bawah perlindungan imuniti Parlimen tidak bermaksud mereka diberikan kebebasan sepenuhnya semasa berbahas di Dewan Rakyat atau Dewan Negara. 

"Beliau sepatutnya tahu tetapi kenapa masih menggunakan hujah tanpa fakta yang sah dalam perbahasan? Bagi saya, ini bukanlah salah guna imuniti tetapi Wan Ahmad Fayhsal lebih kepada menyalahi tatacara sebagai seorang Ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penggantungan Wan Ahmad Fayhsal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula semalam susulan dakwaannya mengenai surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad.

Sebelum itu, usul berkenaan yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah diluluskan melalui undi belah bahagi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan itu memaklumkan bahawa 110 Ahli Parlimen bersetuju manakala 63 tidak bersetuju dengan usul berkenaan selepas ia dibahas oleh beberapa wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.

Wan Ahmad Fauzi berkata setiap Ahli Parlimen mempunyai batasan tertentu iaitu tidak menyentuh perkara sensitif di bawah fasal (4) Perkara 10 yang boleh menjadi suatu kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948 jika membuat sesuatu kenyataan yang cenderung menghasut.

Penganalisis politik Mujibu Abd Muis pula berkata semua Ahli Parlimen bertanggungjawab untuk memenuhi mandat yang menuntut mereka menjadi penggubal undang-undang dan dasar negara secara profesional serta konstruktif demi kepentingan masyarakat. 

Bagaimanapun, pada pengamatan beliau perkara itu tidak dicerminkan di Dewan Rakyat apabila terdapat segelintir Ahli Parlimen menggunakan persidangan sebagai ‘pentas politik’ dan bukannya untuk berbahas mengenai perkara-perkara penting yang melibatkan rakyat.

“Ada sesetengahnya lebih banyak berpolitik daripada menjadi seorang ahli legislatif dan tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk berbahas dengan baik sebaliknya lebih kepada untuk mendapatkan petikan suara politik untuk populariti sahaja. 

“Sudah tiba masa kita melihat kepada kualiti Ahli Parlimen. Mereka juga perlu insaf, bermuhasabah dan sedar bahawa mereka itu berada di Parlimen atas kapasiti sebagai wakil yang membawa suara rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan