AM > BERITA

SULTAN IBRAHIM TITAH AKAN LAKSANA TANGGUNGJAWAB DENGAN JUJUR, PENUH TIMBANG RASA

20/07/2024 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur, ikhlas dan adil serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat jelata.

Titah Seri Paduka Baginda, ia demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.

“Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang telah memberikan kepercayaan dan penghormatan kepada saya untuk memikul amanah dan tugas sebagai ketua negara.

“Insya-Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur dan ikhlas, dan memerintah dengan adil dan saksama serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat jelata, demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara,” titah Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, hari ini.

Pada masa sama Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar kerajaan terus berusaha untuk meringankan beban hidup rakyat serta membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur.

Sementara itu, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan di atas keberangkatan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa kerana sudi berangkat ke istiadat pertabalan itu, yang menandakan hubungan erat kedua-dua negara.

“Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada semua Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Baginda yang sudi berangkat di dalam majlis ini. Saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir di sini dan juga yang mengutuskan ucapan tahniah, serta iringan doa sempena pertabalan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong pada hari ini,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan istiadat pertabalan hari ini serta semua majlis yang dianjurkan.

“Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga negara Malaysia akan terus maju dan makmur, serta seluruh rakyatnya kekal hidup bersatu-padu, aman sentosa dan bahagia,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Balairung Seri, Istana Negara pagi ini, yang melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan bermakna bagi Malaysia.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan