AM > BERITA

NAFAS GALAK AHLI PELADANG CEBURI TANAMAN DURIAN BERMUTU TINGGI

20/07/2024 06:56 PM

KUALA KRAI, 20 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menggalakkan ahli-ahlinya menceburi penanaman durian bermutu tinggi seperti Musang King dan Blackthorn bagi menerokai sumber pendapatan baharu.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas Datuk Zamri Yaakob berkata penanaman durian jenis itu mampu menjana pendapatan lumayan dan mendatangkan keuntungan besar kepada pekebun.

"Sebagai contoh, Lembaga Pertubuhan Peladang sudah membuat penanaman 600 pokok durian Musang King dan Blackthorn di Kampung Mahkota, Kuantan, Pahang sejak beberapa tahun lepas dan kini sudah mengeluarkan hasil secara berperingkat,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-45 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zamri berkata Nafas juga dalam perancangan untuk menanam kelapa di kawasan seluas 120 hektar di Bandar Penawar, Johor dengan hasil tanaman berkenaan akan dieksport ke Singapura sebagai kelapa muda dan mampu menjana pendapatan lumayan.

Terdahulu, Zamri menyampaikan Geran Pemadanan Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-Up) berjumlah RM450,000 dan geran Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana kepada peladang-peladang Kuala Krai sebanyak RM57,860.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelabur Pertanian Gua Musang Lim Chin Chee menggesa golongan bumiputera di Gua Musang untuk terlibat mengusahakan tanaman durian Musang King yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Beliau yang ditemui pemberita pada pertandingan durian Musang King di Gua Musang berkata setakat ini, lebih 1,000 pekebun durian berdaftar di bawah persatuan itu dengan majoritinya adalah kaum Cina.

Kesemua mereka terdiri daripada individu dan syarikat kecil yang mengusahakan tanaman durian di kawasan seluas 4,046 hektar, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan