AM > BERITA

SSI PERAK PERUNTUK RM8. 5 JUTA SETAHUN LAKSANA PELBAGAI PROGRAM CSR BANTU MASYARAKAT

20/07/2024 07:02 PM

KUALA KANGSAR, 20 Julai (Bernama) -- Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Perak melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan sejak empat tahun lepas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI Zulkefli Abdullah berkata sejumlah RM8.5 juta setahun diperuntukkan bagi tujuan itu termasuk sumbangan kepada kerajaan negeri menganjurkan pelbagai bentuk program dan bantuan bagi manfaat rakyat di negeri itu.

"Setiap tahun SSI ada sebahagian peruntukan untuk kita belanjakan bagi tujuan perbelanjaan khusus untuk membantu golongan yang kita pilih dalam program CSR. Antara program yang kita laksanakan ialah pemberian bot kepada penduduk di Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang di Gerik yang menggunakan bot sebagai pengangkutan pelajar Orang Asli untuk ke sekolah.

"Selain itu, SSI juga turut memberi sejumlah peruntukan kepada kerajaan negeri bagi pelaksanaan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) serta sumbangan (haiwan) korban bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan atau persatuan komuniti masyarakat setempat untuk menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program CSR SSI yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun di Dataran Tepi Sungai, Jambatan Victoria di sini hari ini.

Sementara itu, Zulkefli berkata SSI memperuntukkan kira-kira RM20,000 untuk tiga bot berserta enjin bagi kegunaan tiga nelayan darat yang layak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di sini.

Menurutnya, kesemua nelayan darat dipilih berdasarkan kegiatan mereka yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan di sungai sebagai punca utama pendapatan mereka.

"Ini merupakan kali pertama SSI memberikan bantuan sebegini kepada golongan nelayan. Kita akan teruskan pelbagai program CSR dengan kerjasama Exco kerajaan negeri yang lain di kawasan-kawasan yang terpilih," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan