AM > BERITA

TINGGALKAN LOKASI INSIDEN PELANGGARAN, APMM GIAT KESAN KAPAL MT CERES 1

20/07/2024 08:10 PM

KOTA TINGGI, 20 Julai (Bernama) -- Kapal MT Ceres 1 yang terlibat dalam insiden pelanggaran dengan kapal MT Hafnia Nile di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau di sini semalam, gagal dikesan selepas didapati meninggalkan lokasi kejadian dan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS).

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus berkata usaha Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjejaki kapal tangki tersebut giat dilakukan dengan mengatur gerak pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP bagi tujuan penyelamatan dan siasatan.  

Beliau berkata tindakan kapal yang berdaftar di Republik Demokratik Sao Tome dan Principe iaitu negara di kepulauan Afrika Tengah itu meninggalkan kawasan pelanggaran adalah meragukan sekali gus tidak menolak kemungkinan ia melarikan diri susulan insiden pelanggaran tersebut. 

“Semalam kapal itu masih ada dan kita menangguhkan operasi carilamat pada lewat petang sebelum sambung semula pagi tadi, (namun) aset di lapangan pagi ini membuat laporan bahawa MT Ceres 1 sudah tidak ada di lokasi.

“Setakat ini, Maritim Malaysia tidak dapat memastikan keadaan sebenar kapal berserta kru MT Ceres 1 memandangkan ia tidak dapat dihubungi,” katanya pada sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili di sini hari ini.

Beliau berkata maklumat serta semakan oleh Maritim Rescue Sub-Centere (MRSC) Johor Bahru dan Jabatan Laut Malaysia juga mendapati nombor pendaftaran International Maritime Organisation (IMO) kapal tersebut meragukan.

Justeru, beliau berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan daripada ejen syarikat kapal itu yang sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas.

“Setakat ini kita tidak dapat dipastikan jenis muatan dibawa kapal tersebut dan berdasarkan maklumat ia mempunyai 40 kru dengan 14 daripadanya telah diselamatkan oleh kapal tunda dari Singapura yang berada berhampiran lokasi kejadian dan dibawa ke republik itu untuk dirawat semalam.

“Baki 26 kru lagi dipercayai masih berada di kapal tersebut dan berkemungkinan masih berada di perairan negara, sama ada mereka sihat atau tidak tidak dapat dipastikan tetapi pandangan saya apabila kapal tiada di situ (lokasi) kemungkinan mereka berjaya kawal (kebakaran) kapal itu dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui di mana,” katanya.

Zin Ahmad berkata pihaknya akan turut mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat  (STAR Team) bagi mengesan kapal itu, selain Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian susulan insiden pelanggaran yang berlaku pada jam 6.55 pagi semalam.

Beliau berkata 22 kru kapal MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura dan membawa bahan kimia jenis ‘naptha’ itu pula diselamatkan Tentera Laut Singapura RSS Supreme dan dirawat di republik berkenaan.

“Kapal berkenaan telah dibawa arus hingga ke Pulau Pemanggil di sini dan usaha membawanya ke kawasan selamat akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia,” katanya yang turut menjelaskan insiden itu berlaku di perairan negara berdasarkan kedudukan lokasi kejadian dan tumpahan minyak turut dikesan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan