AM > BERITA

SIDANG WANITA PULAU PINANG 2024 PLATFORM ASAH BAKAT KEPIMPINAN

22/07/2024 03:11 PM

GEORGE TOWN, 22 Julai (Bernama) -- Sidang Wanita Pulau Pinang 2024 yang bakal diadakan bermula Ogos hingga November ini merupakan platform buat wanita di negeri ini mengasah bakat dalam kepimpinan terutama dalam arena politik.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita 2024 Connie Tan berkata sidang yang memasuki tahun kelima itu merupakan anjuran kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan dirangka khas untuk wanita meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tugas wakil rakyat serta perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata seperti biasa edisi tahun ini akan dilaksanakan dalam empat fasa iaitu klinik kepimpinan wanita pada 24 dan 25 Ogos ini, diikuti fasa dua bengkel pembangunan kapasiti (21 dan 22 Sept); fasa tiga bengkel persediaan perwakilan (5 Okt) dan fasa empat merupakan hari persidangan pada 30 November ini. 

“Setiap fasa akan melalui proses tapisan bagi pemilihan ke fasa seterusnya dengan hanya 40 orang peserta akan dipilih untuk ke fasa akhir iaitu fasa empat yang akan mewakili kawasan DUN masing-masing.

“Mereka ini akan mengambil bahagian sepertimana sidang DUN sebenar dan membahaskan isu-isu di kawasan mereka. Hasil persidangan ini nanti akan didokumentasikan dan dihantar ke Pejabat EXCO berkenaan untuk penelitian dan tindakan jika berkaitan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC Datuk Ong Bee Leng. 

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima menyeru kepada semua wanita tanpa mengira latar belakang supaya tampil merebut peluang mendaftar menjadi peserta pada persidangan kali ini.

Sementara itu, Lim berkata sejak penganjuran pertama pada 2020, sidang berkenaan telah berjaya melahirkan 160 pemimpin wanita yang mewarnai pentas politik tempatan termasuk menjadi ADUN di negeri ini.

Meskipun jumlah ADUN wanita di Pulau Pinang masih kecil bilangannya, beliau berkata kerajaan negeri tetap komited untuk terus memperkasakan pemimpin wanita menerusi penganjuran program seumpama itu. 

“Penganjuran sidang wanita akan ditambah baik bagi memastikan keberkesanan penyampaian, maka, saya menyeru kepada wanita berminat termasuk profesional, usahawan, ahli akademik, penjawat awam dan swasta, aktivis badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) untuk menyertai program ini,” katanya.

Penyertaan dibuka bermula 22 Julai hingga 18 Ogos ini dan mereka yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.sidangwanita.my atau laman Facebook PWDC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan