POLIS RAMPAS LEBIH 21 KG SYABU, MEKANIK DIBERKAS

22/07/2024 09:35 PM

BENTONG, 22 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki selepas menemukan dadah disyaki syabu seberat lebih 21 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM697,717 di dalam keretanya di kawasan tempat letak kereta Rehat & Rawat (R&R) Genting Sempah, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata suspek berumur 34 tahun yang bekerja sebagai mekanik serta menjual alat ganti kenderaan itu dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk membeli dadah semasa ditahan dalam operasi kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Honda Jazz dipandu suspek, polis menjumpai 20 paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu yang diletakkan dalam beg hitam di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

“Susulan itu polis kemudiannya menyerbu rumah suspek di Lembah Klang dan menyita sebuah motosikal Vespa Sprint 150 ABS bernilai RM20,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM717,788," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini hari ini.

Beliau berkata suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu Yahaya berkata polis belum menemui sebarang petunjuk berkaitan kehilangan seorang pelajar Nur Aina Faqihah Sharizan,17, yang dilaporkan hilang dari rumahnya di sini sejak 15 Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan