AM > BERITA

AWANG BEMEE DILANTIK YANG DIPERTUA DEWAN NEGARA KE-21

22/07/2024 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-21.

Pelantikannya adalah bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama Awang Bemee, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.

"Beliau yang merupakan anak jati negeri Sarawak, pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Borneo Sarawak bermula pada tahun 1984 dan berpengalaman mengendalikan pelbagai kes di semua peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching sejak 1998 dan pernah berkhidmat sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak selama tiga penggal. Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1), saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat, jika dipilih," katanya.

Cadangan itu disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada 15 Julai lepas Awang Bemee mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh hingga 14 Julai 2027.

Beliau menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Penasihat Undang-undang PBB dan Pegawai Awam Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga kini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan Pengarah Sarawak Plantation Berhad.

Beliau juga merupakan pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan, sejak mula diterima sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984.

Dilahirkan pada 22 Jun 1959, di Sibu, Sarawak, Awang Bemee memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya.

Sementara itu, ketika berucap Awang Bemee berkata beliau akan menunaikan kewajipan dengan jujur dengan segala daya upaya, menumpahkan taat setia kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

"Ini adalah satu penghormatan yang besar yang dizahirkan oleh sahabat-sahabat Ahli Majlis kepada saya. Hari ini bukan sahaja bersejarah buat diri saya malah di atas penghormatan anak Sarawak, warga Malaysia untuk dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara ke-21, tetapi hari ini juga Sarawak satu wilayah yang menubuhkan Malaysia, meraikan Hari Sarawak. 

"Pada tarikh ini (22 Julai) Sarawak bebas daripada belenggu kolonialisme, bermulalah memerintah diri sendiri dan tanggal 16 Sept Sarawak bersetuju bersama dengan Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Bagi pihak dewan, beliau juga mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada semua warga Sarawak selain mendoakan kemajuan dan kemakmuran rakyat dan negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan