AM > BERITA

MOHON HENTI SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT - IBU KANAK-KANAK PEREMPUAN HILANG

22/07/2024 03:47 PM

ISKANDAR PUTERI, 22 Julai (Bernama) -- Ibu kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah pusat beli-belah di sini, Sabtu lepas, memohon orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat mengenai anaknya sehingga menjejaskan siasatan polis.

Leo Qieo Xin, 37, yang berada di pusat beli-belah berkenaan sejak kejadian itu berlaku berkata dia sangat khuatir akan keselamatan anaknya Albertine Leo Jia Hui yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Wanita itu juga memaklumkan beliau akan terus berada di lokasi kehilangan sehingga kanak-kanak itu dijumpai.

"Saya sangat marah dan kecewa apabila banyak berita tidak tepat mengaitkan hal kehilangan anak saya. Tolonglah hentikan.. saya sangat sedih dengan kejadian ini, saya tidak selera makan sebab terlalu risau," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang di sini hari ini.

Kejadian itu difahamkan berlaku ketika berlangsungnya festival Bon Odori yang berakhir semalam dengan Leo Qieo Xin berniaga menjual minuman di festival itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat beli-belah tersebut mendapati dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan untuk mengesan kanak-kanak itu.

Premis perniagaan di pusat beli-belah itu bagaimanapun beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu, beberapa pihak menawarkan wang ganjaran berjumlah sehingga RM50,000 kepada pihak yang berjaya menemukan kanak-kanak itu menerusi media sosial.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Albertine Leo Jia Hui yang disedari hilang oleh bapanya di sebuah pusat beli-belah di sini kira-kira 8.30 malam, pada Sabtu.

Kumarasan dipetik berkata kanak-kanak berketinggian lebih kurang 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus itu memakai kemeja T berwarna putih dengan gambar 'Mickey Mouse' pada bahagian dada dan berseluar pendek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan