AM > BERITA

850 KES PEKERJA HILANG PENDENGARAN DILAPOR DI PERAK TAHUN LEPAS

21/07/2024 11:13 AM

IPOH, 11 Julai (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak merekodkan 850 kes pekerja hilang pendengaran akibat terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja sepanjang tahun lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan berkata jumlah itu menjadikan masalah berkenaan sebagai penyakit pekerjaan paling tinggi di Perak.

Beliau berkata statistik menunjukkan mereka yang menghadapi masalah itu terdiri dalam kalangan pekerja sektor pembuatan dan pengilangan. 

"Sepanjang 2023, kita terima 905 kes berkaitan penyakit dan keracunan pekerjaan dan 94 peratus daripada kes ini adalah hilang pendengaran, angka yang sentiasa tinggi setiap tahun. 

"Bagi tahun ini pula hingga Jun, sebanyak 261 kes pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan diterima JKKP dengan 95 daripadanya membabitkan masalah hilang pendengaran," katanya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu Sivanesan berkata 880 kes membabitkan kecederaan pekerjaan dilaporkan di Perak sepanjang tahun lepas dengan 13 kes maut, 39 kes hilang upaya kekal (HUK) dan 828 kes tidak hilang upaya kekal (THUK).

“Manakala bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, 491 kes kecederaan pekerjaan dilaporkan ke JKKP Perak dengan empat daripadanya kes maut, 13 kes HUK dan 452 kes THUK,” katanya.

Beliau berkata bagi mengurangkan risiko kes berkenaan, JKKP berusaha mempertingkatkan tindakan punitif bagi memberi kesedaran dengan pihak industri.

Sementara itu Sivanesan berkata JKKP Perak mengeluarkan 2,866 surat arahan dan 658 notis dengan 52 kesalahan direkod di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 membabitkan kompaun RM183,000 serta 31 tindakan mahkamah dengan jumlah denda RM369,400.

"Untuk tindakan perundangan hingga Jun 2024, sebanyak 31 kes dikeluarkan kompaun dengan jumlah tawaran kompaun RM67,000 manakala 15 kes telah diambil tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah denda RM261,900," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan