AM > BERITA

PROF SHAHRINA MD NORDIN DILANTIK FELOW ASM

22/07/2024 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pengarah Institute of Smart and Sustainable Living (ISSL) Universiti Teknologi Petronas (UTP) Prof Dr Shahrina Md Nordin dilantik sebagai felow Akademi Sains Malaysia (ASM).

UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar Shahrina dalam bidang inovasi sosial serta peranan penting beliau dalam merapatkan jurang antara teknologi dan inisiatif kemampanan.

Shahrina yang juga Fasilitator Utama bagi Energy Transition Malaysian Alliance (ET-MAce), berkata pengiktirafan itu sebagai bukti kepada usaha bersama pasukan penyelidiknya dan sokongan tidak berbelah bahagi UTP.

“Ia memberi inspirasi kepada saya untuk terus memacu inovasi dan memberikan impak positif kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan itu. 

Sementara itu, UTP dalam kenyataan sama memaklumkan Shahrina yang merupakan pakar komunikasi terkenal, mengkhusus dalam penyebarluasan inovasi dan komunikasi yang menggalakkan penggunaan amalan dan teknologi mampan. 

“Penyelidikan beliau telah memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan inovasi dan menyampaikan secara berkesan konsep saintifik dan teknologi yang kompleks berkaitan kemampanan,” menurut kenyataan itu.

Menurut UTP, komitmen Shahrina terhadap kemampanan telah terbukti menerusi kepimpinannya dalam menyelia projek Advokasi Hidrogen Hijau bagi Tenaga Bersih di Asia Pasifik yang dibiayai oleh Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Shahrina juga telah bekerjasama dengan organisasi terkenal seperti Research Council UK British Council dan Social Innovation Linkages and Knowledge Exchange Network (SILKEN), selain pernah bekerja bersama Pemenang Hadiah Nobel Prof Muhammad Yunus dalam inisiatif yang bertujuan memartabatkan masyarakat Orang Asli.

Menurut kenyataan itu penyelidikan Shahrina telah memberi impak mendalam dan memupuk nilai keterangkuman terhadap inisiatif kemampanan dengan merapatkan jurang komunikasi dalam kalangan pihak berkepentingan. 

“Selain penyelidikan, kepakaran perancangan strategik Shahrina juga memberi manfaat kepada industri dan komuniti terutama dalam aspek kemampanan, peralihan tenaga dan inisiatif ekonomi. Sebagai bukti bahawa penyelidikannya memberi impak, beliau telah memperoleh lebih RM11 juta geran penyelidikan sebagai ‘Principal Investigator’,” menurut kenyataan itu.   

Kenyataan itu memaklumkan pelantikan Shahrina sebagai felow ASM merupakan pencapaian penting bagi UTP dan bukti kepada komitmen universiti tersebut terhadap kecemerlangan dalam penyelidikan dan impak sosial.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan