AM > BERITA

SEKOLAH ADALAH INSTITUSI SOSIAL DAN PERPADUAN – TIMBALAN PREMIER SARAWAK

22/07/2024 06:56 PM

BINTULU, 22 Julai (Bernama) -- Sekolah bukan sahaja tempat untuk mendapatkan pendidikan, malah institusi penting untuk memperkuatkan integrasi sosial dan perpaduan dalam masyarakat, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, masyarakat di Sarawak tetap hidup harmoni dan bersatu.

“Meskipun berbeza latar belakang, budaya dan agama, kita semua bersatu sebagai rakyat Sarawak, atau dalam erti kata lain, kita adalah satu Sarawak,” katanya pada sesi taklimat umum sempena sambutan Hari Sarawak di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu yang dihadiri oleh 1,100 peserta di sini hari ini.

Awang Tengah berkata hasil daripada usaha kolektif rakyat yang hidup harmoni dan saling menghormati itu, Sarawak mampu mengecapi pelbagai kemajuan dan pembangunan menerusi ekonomi baharu sehingga menjadi negeri yang berpendapatan tinggi di Malaysia.

Jelas beliau, turut menerima impak positif daripada ekonomi baharu yang menitikberatkan kelestarian alam adalah bahagian Bintulu, kini menjadi hub pelaburan asing, terutamanya dalam industri minyak dan gas, aktiviti huluan dan hilirannya, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon serta pengeluaran hidrogen dan bahan api biologi lain.

Acara kemuncak sambutan Hari Sarawak ke-61 di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu pada 8 malam ini akan dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan menteri kabinet negeri serta persekutuan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan