AM > BERITA

NCSM PERLUAS PROGRAM IMUNISASI HPV SEMPENA HARI SARAWAK

22/07/2024 08:36 PM

BINTULU, 22 Julai (Bernama) -- Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) hari ini melancarkan Program Imunisasi Papilomavirus Manusia (HPV): “Tanpa Meninggalkan Sesiapapun” peringkat negeri Sarawak yang diadakan sempena sambutan Hari Sarawak ke-61.

Program imunisasi HPV secara percuma yang pertama seumpamanya di Malaysia Timur itu dirasmikan Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian di sini. 

Program yang merupakan inisiatif NCSM bagi mencegah kanser serviks disebabkan HPV itu, menyasarkan lelaki dan wanita berusia 13 hingga 26 tahun terutama golongan kurang bernasib baik.

 Pengarah Urusan NCSM Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy berkata persatuan itu menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 50,000 rakyat Sarawak lelaki dan wanita mendapatkan perlindungan daripada HPV.

“Program imunisasi di Sarawak sahaja bernilai RM15 juta. Kami berharap dengan pelancaran ini lebih ramai rakyat Sarawak tanpa mengira jantina akan mengambil peluang ini untuk melindungi diri dan keluarga mereka daripada ancaman kanser serviks,” katanya. 

Murallitharan turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas sokongan dan kerjasama, selain rakan korporat MSD atas sumbangan 300,000 dos vaksin HPV dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang menyumbang RM3 juta. 

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada penaja termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Sarawak, Affin Bank dan The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints serta rakan kargo dan penerbangan rasmi Aviation Group (MAG) dan MASkargo untuk program peringkat negeri Sabah dan Sarawak. 

Bagaimanapun, Murallitharan berkata NCSM masih memerlukan tambahan RM6 juta bagi memastikan program itu berjalan lancar, justeru menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan individu untuk turut tampil menyumbang. 

Sehingga kini program tersebut telah berjaya melindungi lebih 50,000 rakyat Malaysia daripada ancaman HPV.

Sejak diperkenalkan pada November lepas, program imunisasi berkenaan telah dilaksanakan di pelbagai kawasan termasuk di luar bandar di Johor, Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka, selain di Kuala Lumpur, Selangor serta Pulau Pinang.

Sementara itu, Dr Sim menggesa seluruh rakyat Sarawak mengambil peluang mendapatkan vaksin HPV secara percuma untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti mereka. 

“Lebih ramai mendapat perlindungan, lebih rendah jangkitan virus tersebut sekali gus mengurangkan bebanan di hospital di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan