AM > BERITA

KERAJAAN SARAWAK TUMPU USAHA TINGKAT PENENGAH PENDAPATAN ISI RUMAH

22/07/2024 11:40 PM

BINTULU, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak kini sedang menumpukan usaha untuk meningkatkan lagi penengah pendapatan isi rumah di negeri itu, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata penengah pendapatan isi rumah di Sarawak pada masa ini ialah RM4,978, berbanding kadar nasional RM6,338.40.

“Saya amat yakin dengan langkah-langkah untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak yang sedang dan akan dilaksanakan, negeri ini akan berupaya untuk mempertingkatkan tahap yang ada sekarang untuk melepasi kadar nasional,” katanya.

Berucap pada majlis sambutan Hari Sarawak ke-61 di Lasar Kenyalang di sini malam ini, Abang Johari turut melahirkan rasa bersyukur kerana Sarawak terus diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai kawasan berpendapatan tinggi pada tahun 2023.

“Bank Dunia Malaysia telah mengesahkan bahawa Sarawak masih mengekalkan status sebagai kawasan berpendapatan tinggi dengan tahap GNI pada US$17,000 berbanding US$15,000 pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

Abang Johari berkata Sarawak dengan pendekatan bukan konvensionalnya boleh menentukan hala tuju ekonominya sendiri, yang berkisar pada inisiatif ke arah ekonomi yang berkait rapat dengan usaha sejagat menangani perubahan iklim.

Beliau berkata perkara ini terbukti apabila Sarawak menjadi kawasan pertama di Malaysia, yang telah mengorak langkah untuk menggerakkan ekonominya ke arah ekonomi hijau dan transisi kepada tenaga bersih karbon, di samping memberi nilai tambah kepada sumber asli negeri.

“Dasar ekonomi hijau ini telah mengetengahkan banyak peluang untuk mentransformasikan ekonomi negeri Sarawak, dari segi mempertingkatkan pelaburan asing dan tempatan seperti yang sedang dan akan berlaku di Bintulu ini,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak tidak melepaskan hak-haknya sewaktu menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, sebaliknya hak itu terkandung dalam lunas undang-undang sebelum penubuhan Malaysia dan kekal berkuat kuasa, selagi tidak dipinda di Parlimen dengan persetujuan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Beliau berkata Sarawak tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana entiti nasional seperti yang cuba ditularkan oleh pihak tertentu, dan berharap pihak tersebut tidak mempolitikkan hasrat rakyat Sarawak untuk sama-sama berkecimpung dalam industri minyak dan gas di negara ini, kerana kuasa dan sumber negara ini harus dikongsi dengan lebih adil dan saksama.

“Sarawak tidak boleh melakukan semuanya sendiri dan jalan yang paling bijak untuk Sarawak ialah melalui perkongsian dan kerjasama dengan entiti nasional dan juga antarabangsa, untuk mentranformasikan ekonomi negeri ini,” katanya.

Abang Johari berkata usaha untuk mendapatkan kembali hak ini, tidaklah bermaksud Sarawak tidak prihatin terhadap kepentingan negara, kerana pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Kerajaan MADANI diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan Kerajaan Persekutuan stabil untuk menempuh masa depan yang penuh dengan cabaran.

Beliau turut berterima kasih kepada Anwar dan barisan kabinet beliau, kerana prihatin kepada usaha untuk menghormati perjanjian antara para pemimpin terdahulu ketika penubuhan Malaysia dan yakin dengan pengembalian hak itu, Sarawak boleh menjadi kuasa ekonomi baharu di negara ini dan juga rantau Asia.

“Saya juga amat yakin bahawa jika Sarawak maju, Malaysia secara keseluruhannya juga sama-sama menikmati kemajuan ini kerana hasil kutipan cukai, termasuk cukai korporat dan cukai pendapatan semuanya dikembalikan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Turut hadir Yang DiPertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir, serta pemimpin negeri Sarawak yang lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan