AM > BERITA

RAKYAT MALAYSIA DIBAWA PULANG DARI BANGLADESH BERSYUKUR, UCAP TERIMA KASIH KEPADA PM

23/07/2024 07:34 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

DHAKA, 23 Julai (Bernama) -- Sudahlah dilanda kebimbangan dan ketakutan berdepan protes serta ketegangan yang bermula di sini sejak 1 Julai, keadaan bertambah buruk buat rakyat Malaysia di sini dengan tindakan kerajaan Bangladesh memutuskan perkhidmatan Internet.

Muhammad Farhan Gulzar, 22, berkata tanpa Internet, orang awam tidak mengetahui perkembangan semasa pada waktu maklumat mengenai protes dan keselamatan mereka amat diperlukan.

"Panik. Walaupun protes kebanyakannya berlaku di Dhaka, tiga jam dari lokasi saya (Mymensingh), terjadi juga protes secara kecil-kecilan di sini.

"Itulah sebabnya, tanpa Internet, kami, para pelajar, hanya boleh bergantung pada maklumat yang disampaikan mulut ke mulut. Kami juga tidak boleh menghubungi keluarga dan rakan; kami hanya boleh menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) dan membuat panggilan biasa, yang signalnya juga lemah," kata pelajar Kolej Perubatan Mymensingh itu kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau merupakan antara 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar yang dibawa pulang dengan penerbangan khas AirAsia hari ini atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesawat A320 berlepas dari Lapangan Terbang Hazrat Shahjalal Dhaka pada 11.05 pagi waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pada 4.56 petang tadi (waktu Malaysia).

Pengalaman bertugas tanpa Internet turut dilalui pemberita Bernama yang menyertai misi membawa pulang rakyat Malaysia di Bangladesh itu diketuai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin.

Pakej 'roaming' yang didaftarkan di Malaysia sebelum berlepas ke Dhaka disia-siakan begitu sahaja memandangkan syarikat telekomunikasi di sini tidak menyediakan walaupun satu bit akses Internet.

Kehadiran anggota tentera dan polis di lapangan terbang di sini juga amat ketara ekoran perintah berkurung oleh kerajaan Bangladesh.

Muhammad Farhan, sementara itu, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan perdana menteri atas tindakan segera membawa pulang rakyat Malaysia.  

Turut menzahirkan kesyukurannya, seorang lagi pelajar kolej perubatan itu, Sarvin Tharmalingam, 27, 

Beliau berkata misi berkenaan menjadi sebab utama mengapa kebanyakan pelajar memutuskan untuk pulang.

"Ibu bapa bimbang dan mahu kami pulang lebih awal, tetapi, kerana kekurangan perkhidmatan Internet dan signal telefon yang lemah, sukar untuk menghubungi mereka dan memastikan sama ada situasi di luar selamat atau tidak.

"Kami dengar ramai yang terbunuh dan cedera, kami tidak pasti sama ada hal itu benar atau tidak. Jadi sebab itu apabila pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia datang ke kolej kami semalam, kami fikir inilah masanya. Kami rasa selamat, terima kasih kepada kerajaan dan perdana menteri," kata pelajar tahun akhir itu.

Bagi Siti Nurathirah Afrina Azree, 25, perasaannya bercampur baur untuk pulang memandangkan tahun ini tahun terakhirnya dan beliau juga sibuk dengan peperiksaan.

“Tapi bila dengar orang tempatan cakap mungkin lama lagi protes dan perintah berkurung akan berlaku, kami jadi risau, kita risau lagi bila Internet tak ada dan ibu bapa panik, jadi kami rasa perlu balik,” katanya.

Beliau berkata keadaan menjadi lebih teruk apabila perintah berkurung dilaksanakan, yang tidak membenarkan mereka keluar daripada asrama selepas pukul 2 petang.

"Jadi, misi pengungsian ini merupakan satu rahmat buat kami. Pastinya gembira sebab (tidak mahu) ibu bapa risau.

"Pengumuman 'selamat kembali' oleh juruterbang ketika mendarat di KLIA2 kali ini sangat bermakna," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan