AM > BERITA

GANGGUAN BEKALAN AIR DI SELANGOR PULIH 14.3 PERATUS

24/07/2024 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Gangguan bekalan air di tujuh daerah akibat pencemaran bau yang dikesan di Sungai Kundang dan Sungai Sembah di Selangor pulih sebanyak 14.3 peratus setakat 9 pagi tadi.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dijangka mencapai kira-kira 40 peratus pada 8 pagi esok dan 90 peratus pada 8 malam.

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada 8 pagi Jumaat,” menurut Air Selangor di laman Facebook rasminya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Air Selangor juga meminta pengguna supaya tidak bimbang sekiranya bekalan air yang diterima berwarna kerana situasi itu lazim berlaku semasa bekalan air terputus disebabkan oleh gangguan bekalan air berjadual atau tidak berjadual.

“Bekalan air yang disambung semula boleh menyebabkan pemendapan sedimen dalam paip utama yang telah kosong terampai semula. Ini mengakibatkan bekalan air berubah warna,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor menasihatkan pengguna yang mengalami bekalan air berwarna supaya membiarkan paip air mengalir selama lima hingga 10 minit sehingga kembali jernih sebelum digunakan namun sekiranya bekalan air masih berwarna, mereka boleh menghubungi Air Selangor di 15300 atau 'Help Centre' untuk pemeriksaan dan tindakan susulan.

Menurut kenyataan itu,  Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Kenyataan itu memaklumkan bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual daripada saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ dan saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Terdahulu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan pencemaran bau berkenaan yang dikesan sejak Isnin lepas berpunca daripada premis kilang dipercayai memproses bahan akrilik untuk dikitar semula. 

Tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan air tidak berjadual ekoran empat LRA dihenti tugas sementara berikutan pencemaran itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan