DUNIA > BERITA

BELON BERISI SAMPAH JATUH DI KAWASAN PEJABAT PRESIDEN KOREA SELATAN

24/07/2024 04:53 PM

SEOUL, 24 Julai (Bernama-Yonhap) -- Sebuah belon yang membawa sampah sarap dari Korea Utara jatuh di kawasan pejabat presiden Korea Selatan pada Rabu namun tiada bahan berbahaya ditemui, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS).

PSS melaporkan bahawa mereka menemui sampah yang jatuh di kawasan kompleks presiden semasa memantau belon-belon yang dihantar Korea Utara awal hari itu.

Sejak Mei, Korea Utara menghantar ribuan belon berisi sampah ke Korea Selatan sebagai protes terhadap risalah propaganda anti-Pyongyang yang diterbangkan oleh aktivis merentasi sempadan.

"Siasatan oleh pasukan tindak balas kimia, biologi dan radiologi menunjukkan objek berkenaan tidak mendatangkan bahaya atau pencemaran. Kami akan terus memantau situasi dengan kerjasama Ketua Staf Bersama," menurut PSS.

Pejabat presiden memaklumkan bahawa lokasi tepat belon itu jatuh dijejak melalui alat pemerhatian.

Seorang pegawai presiden menjelaskan adalah sukar untuk mengendalikan belon-belon itu di udara kerana bimbang kandungan di dalamnya.

Tentera mengelak daripada menembak jatuh belon-belon terbabit kerana bimbang isi kandungannya tersebar lebih jauh dan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan