AM > BERITA

KOLEKSI GAMBAR DIJAGA IBARAT 'SIMPAN DUIT' - BEKAS PEJUANG

25/07/2024 11:26 AM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

PASIR PUTEH,  25 Julai (Bernama) -- Koleksi gambar kenangan ketika berkhidmat pada zaman darurat 1969 bukan saja menjadi pengubat rindu bersama rakan-rakan setugas tetapi juga ibarat 'menyimpan duit’ untuk anak-anak dan generasi seterusnya menghayati pengorbanan anggota keselamatan demi tanah air tercinta.

Membelek foto disimpan elok dalam albumnya, Lans Koperal Mohamed Zawawi Mohd, 75, atau lebih mesra disapa ‘Ayah Awi’ berkata setiap gambar menceritakan 1,001 kenangan suka dukanya bersama rakan-rakan ketika negara berdepan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) yang bermaharajalela.

"Saya simpan gambar-gambar ini sejak saya mula sertai Pasukan Polis Hutan (PPH) (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 8 Jun 1969 di Ulu Kinta, Perak sehingga saya bersara daripada polis pada 2004 di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh.

"Hanya gambar-gambar ini sahaja menjadi pengubat rindu saya mengimbau semula memori bersama rakan-rakan ketika bertugas dan rata-rata daripada mereka ini semua sudah meninggal dunia," katanya yang menyifatkan gambar-gambar itu juga mengingatkannya betapa berharga keamanan yang dinikmati pada hari ini. 

Bercerita penuh semangat, Mohamed Zawawi berkata beliau menyertai PPH kerana tidak sanggup melihat pasukan tentera dan polis berjuang habis-habisan mengekang kemaraan komunis di negara ini ketika zaman darurat.

"Sebelum masuk PPH, saya bekerja sebagai nelayan di Kuala Besut, Terengganu dan ketika berlaku peristiwa hitam 13 Mei 1969, hati saya membuak-buak untuk sertai pasukan keselamatan kerana ingin mematahkan pemberontakan komunis,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, Jalan Jeram Pasu, di sini.

"Antara operasi mencabar pernah disertai pada 1971 di Sarawak sebab kena berada dalam kawasan hutan tebal dan kita tidak tahu pengganas komunis ini akan datang serang dari arah mana, kena sentiasa berjaga-jaga," katanya yang bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang operasi itu.

Bapa kepada empat anak itu berkata pelbagai cara dan taktik serangan dilakukan oleh pengganas komunis untuk membunuh pejuang tanah air seperti memasang jerangkap samar dalam semak samun atau tanah dan memperdaya lawan dengan helah tersendiri.

"Hati akan sedih apabila lihat depan mata sendiri dan terima khabar kawan-kawan yang makan, tidur, gelak bersama kita cedera serta meninggal dunia akibat kekejaman komunis yang sangat jahat, bukan sahaja menceroboh negara malah bunuh pejuang kita," katanya dengan nada sebak.

Justeru katanya, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini, beliau berharap generasi sekarang tidak sesekali menggadai maruah negara kepada penjajah asing dan sentiasa menanam semangat patriotisme dalam diri.

“Hargai setiap pengorbanan dilakukan pejuang terdahulu yang sanggup mengadai nyawa demi tanah air,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan