AM > BERITA

PROJEK LRA NGOI-NGOI FASA 2 DIJANGKA SIAP SEPENUHNYA MAC 2025 - PAAB

25/07/2024 05:47 PM

PORT DICKSON, 25 Julai (Bernama) -- Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 di Negeri Sembilan kini mencapai 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Ir Zulkiflee Omar berkata projek melibatkan pembiayaan RM228 juta itu, bakal membekalkan 150 juta liter sehari kepada lebih 78,000 akaun di kawasan Seremban, Nilai dan Sendayan.

"Baki 30 peratus lagi melibatkan kerja mechanical electrical dan perpaipan. Secara keseluruhan projek PAAB yang sedang dalam pembinaan berjumlah RM372 juta di negeri ini.

“Ia termasuk projek membaik pulih dan menaik taraf LRA Pantai dan LRA Sungai Linggi yang membekalkan air terawat sekitar Seremban, Sikamat dan Ampangan," katanya kepada pemberita di Masjid Kariah Kampung Jimah Lama di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan program Kempen Masjid Hijau PAAB 2024 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) Ts Shamsul Bahar Mohd Nor.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan bagi menurunkan kadar peratusan air tidak terhasil (NRW) iaitu bekalan air terawat yang tidak sampai kepada pengguna disebabkan faktor paip pecah.

PAAB telah menggantikan paip lama sepanjang 257.32 kilometer dengan nilai RM74.49 juta melibatkan kawasan Gemencheh, Seremban, Port Dickson, Jelebu, Tampin, Gemas, Rembau, Jempol, Kuala Pilah dan Senawang.

Zulkiflee berkata melalui skim pembiayaan jangka pendek NRW, agensi itu meluluskan sejumlah RM24.35 juta bagi penggantian meter, pembelian peralatan pengesanan kebocoran, pembaikan fittings, kerja pengurusan tekanan, pembangunan sistem pemantauan dan sebagainya.

"Kesemua projek ini membabitkan kerjasama padu dan berterusan antara PAAB serta kerajaan negeri melalui Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dalam membangunkan kemudahan dan memastikan kualiti bekalan air di negeri ini," katanya sambil menambah kerjasama dengan SAINS bermula 2008.

Beliau berkata negeri ini antara terawal memuktamadkan Perjanjian Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air menerusi projek pertama LRA Kuala Jelai pada 2010.

Zulkiflee berkata secara keseluruhan sejumlah RM512 juta peruntukan di bawah skim pembiayaan PAAB bagi menyiapkan projek di negeri ini hingga 30 Jun lepas. 

Terdapat 39,000 kilometer (km) paip lama iaitu jenis asbestos berusia 30 hingga 50 tahun di seluruh Semenanjung Malaysia perlu diganti. 

"Paip ini sudah lama jadi ia mudah pecah dan kebanyakan pembaikan penggantian paip ini di bawah program NRW menggunakan steel pipe," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan