AM > BERITA

YAYASAN RYTHM LANCAR MODUL PENGAJARAN "SIKULAH BATEQ" UNTUK KANAK-KANAK ORANG ASLI

25/07/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Yayasan RYTHM, sebuah inisiatif impak sosial bagi konglomerat antarabangsa Kumpulan QI, melancarkan modul pengajaran "Sikulah Bateq" (Sekolah Bateq), yang direka untuk membantu literasi dan numerasi asas kanak-kanak Orang Asli peringkat prasekolah dan sekolah rendah.

Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy berkata modul yang menyepadukan pembelajaran akademik dengan kemahiran hidup asas itu penting bagi misi yayasan untuk menyokong dan memajukan komuniti Orang Asli melalui pendidikan.

"Ia juga direka untuk melibatkan kanak-kanak Orang Asli dalam pengalaman pembelajaran yang bermakna dan memupuk minat membaca, menulis dan matematik.

"Menerusi pembangunan kemahiran penting ini, kami meletakkan asas bagi kejayaan dan kesejahteraan mereka pada masa hadapan," katanya pada pelancaran modul pengajaran itu di Petaling Jaya pada Selasa.

Pada hari yang sama, yayasan berkenaan turut menganjurkan "Perbincangan Meja Bulat mengenai Komuniti Orang Asli: Pendidikan dan Pendapatan", yang menangani dua cabaran kritikal dihadapi masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Perbincangan yang merangkumi wakil daripada komuniti Orang Asli, pertubuhan masyarakat sivil, institut latihan guru serta universiti awam dan swasta menekankan keperluan kritikal dalam pendidikan dan punca pendapatan kumpulan Orang Asli, selain menyeru penyelesaian yang mampan dan inklusif.

Ia juga membincangkan tentang kekurangan pekerjaan, akses penjagaan kesihatan dan keperluan bagi perancangan pembangunan komprehensif untuk meningkatkan penyertaan masyarakat Orang Asli.

Dengan cabaran seperti kekurangan pekerjaan dan penjagaan kesihatan, cadangan bagi meningkatkan punca pendapatan termasuk mewujudkan pelan pembangunan terperinci untuk penyertaan komuniti itu yang lebih besar, mempromosikan ekopelancongan dan menghormati hak tanah.

Sementara itu, ahli panel yang membangkitkan cabaran pendidikan mencadangkan penyediaan asrama, menambah baik pengangkutan dan menggunakan kurikulum yang relevan untuk kanak-kanak Orang Asli, sambil mengukuhkan kerjasama bagi hasil akademik yang lebih baik.

Santhi berkata perbincangan meja bulat itu berkongsi pengalaman, pendapat dan cabaran yayasan bekerja dengan dan untuk komuniti Orang Asli di Malaysia.

Beliau berkata perbincangan meja bulat itu diadakan susulan kejayaan Konvensyen Komuniti Orang Asli di Malaysia anjuran Yayasan RYTHM tahun lepas, dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia yang merumuskan lebih 30 resolusi untuk menangani isu kritikal berkaitan pendidikan, kesihatan, mata pencarian dan tanpa kewarganegaraan.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran dalam ucapan penutupnya menekankan kepentingan tindakan afirmatif oleh masyarakat, sistem pendidikan dan sektor pekerjaan bagi Orang Asli.

"Kita telah mengecewakan mereka (Orang Asli). Usaha lebih besar diperlukan untuk memastikan penyertaan dan kesejahteraan mereka.

"Komuniti Orang Asli ialah sebahagian daripada Malaysia, dan Malaysia sebahagian daripada mereka, kita harus melakukan segala yang boleh untuk membantu mereka maju tanpa memusnahkan budaya, nilai dan identiti mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan