SUKAN > BERITA

SABAH LONJAK KE TANGGA KEDUA SELEPAS ATASI NS FC 2-0

26/07/2024 12:29 AM

KOTA KINABALU, 25 Julai (Bernama) -- Sabah FC melonjak ke tangga kedua saingan Liga Super selepas mengatasi Negeri Sembilan FC 2-0 di Stadium Likas di sini malam ini.

Sabah membuka tirai jaringan pada minit ke-14 melalui Daniel Ting yang menyudahkan hantaran tandukan Telmo Castanheira.

Minit ke-25 menyaksikan Azrin Afiq menjatuhkan Farhan Roslan dalam kotak penalti namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil Mohamad Kamil Zakaria Ismail menafikan sepakan penalti untuk Sabah.

Negeri Sembilan terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-64 setelah pemain pertahanan Norfiqrie Talib terus dilayangkan kad merah setelah melakukan terjahan keras terhadap Farhan. 

Sabah berjaya menambah jaringan pada minit ke-81 menerusi Jafri Firdaus Chew yang tenang menyudahkan sepakan penalti diberikan pengadil setelah Zainal Abidin Jamil menjatuhkan Castanheira dalam kotak penalti.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee seharusnya mampu meledak lebih banyak jaringan namun pemain Sabah gagal menyudahkan deretan peluang yang terhidang, selain percubaan Skuad Badak dinafikan penjaga gol Aqil Razak.

Kemenangan malam ini menyaksikan Sabah meraih 10 mata daripada lima perlawanan di belakang pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT)  yang meraih 15 mata daripada deretan lima kemenangan tanpa kalah setakat ini.

Negeri Sembilan masih tercorot di tangga liga dengan tiga mata selepas lima perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan