AM > BERITA

GUA PELANGI AKAN DIBANGUNKAN SEBAGAI PAKEJ GEOTRAIL

25/07/2024 07:54 PM

JELEBU, 25 Julai (Bernama) -- Tapak kajian arkeologi Gua Pelangi di Felda Pasoh 4 di sini akan dibangunkan sebagai pakej geotrail bagi mempromosikan ekopelancongan di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata penemuan artifak bersejarah berusia 14,000 tahun di Gua Pelangi pada 2015 memberikan elemen sebagai sebuah kawasan geotrail.

"Elemen bersejarah sudah ada cuma ia perlu dilengkapkan contohnya dari segi papan tanda, latihan untuk jurupandu dan kemudahan asas. Saya juga berpendapat perlu ada sebuah galeri bagi menempatkan artifak ditemukan dalam penyelidikan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke Gua Pelangi bersama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Jabatan Perhutanan negeri serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Tan berkata pihaknya sedang berusaha mencari dana bagi melengkapkan fasa penyelidikan artifak di Gua Pelangi serta merancang membentangkannya pada Belanjawan Negeri Sembilan akan datang.

Media pada 2015 melaporkan sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menemukan artifak prasejarah di Gua Pelangi yang berusia 14,000 tahun termasuk peralatan seperti kapak batu dan sisa makanan manusia prasejarah seperti rusa dan siput sedut.

Terletak 20 kilometer daripada pekan Jelebu, penemuan artifak itu penting dalam menerangkan asal usul Negeri Sembilan dan daerah Jelebu itu sendiri. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan