AM > BERITA

PELAN, UNDANG-UNDANG PERUBAHAN IKLIM MAMPU PERKASA SEKTOR PERNIAGAAN - NIK NAZMI

25/07/2024 10:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pelan dan peruntukan undang-undang berkaitan perubahan iklim yang sedang diusahakan kerajaan mampu memperkasakan sektor perniagaan di negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata Pelan Adaptasi Kebangsaan, kerangka pasaran karbon dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim dapat membuka peluang baharu kepada sektor perniagaan menembusi pasaran antarabangsa yang menitikberatkan aspek kelestarian alam.

“Kita tahu negara-negara seperti Kesatuan Eropah, mereka mempunyai permintaan yang sangat ketat tentang soal standard piawaian kelestarian. Jadi, dengan adanya RUU ini, ia akan dapat membantu (sektor perniagaan) kita.

“(Ditambah dengan) adanya Pelan Adaptasi Kebangsaan dan kerangka pasaran karbon yang kita sedang siapkan, kita percaya ia akan menjadi satu peluang kepada sektor perniagaan. Ini kita sedang usahakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi sembang santai bersempena Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2024 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata RUU Perubahan Iklim, dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan yang menekankan aspek kawalan pencemaran dapat menyumbang kepada usaha mitigasi bencana sekali gus mengurangkan kesan negatif terhadap sektor perniagaan.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata sesi sembang santai yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dan Invest Selangor Berhad berkenaan menjadi platform terbaik dalam membincangkan isu-isu kelestarian membabitkan cabaran dan peluang pelaburan di Asia Tenggara.

“Hari ini saya menerangkan tentang usaha-usaha yang dibuat Kerajaan Persekutuan dalam soal kelestarian terutamanya soal yang berdepan dengan perubahan iklim, pendekatan dalam mengatasi masalah pencemaran negara, biodivesiti dan sebagainya.

“Tetapi, fokus kita sudah tentu mengenai soal bagaimana pihak industri dan komuniti perniagaan boleh memastikan agenda mereka seiring dengan agenda kelestarian negara,” katanya.

Sesi yang dihadiri delegasi-delegasi dari negara serantau termasuk China, Singapura dan Indonesia itu  antara lain membincangkan isu-isu seperti perubahan iklim, pencemaran dan pelaburan hijau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan